KUALA LUMPUR — Kumpulan sensasi pop negara, DOLLA, kembali menggegarkan industri muzik tempatan dengan kemunculan single terbaharu mereka yang berjudul “UGLY”. Menampilkan rentak yang berani, penuh tenaga serta membawa semangat penentangan yang tanpa kompromi, karya ini menceritakan detik-detik apabila kekecewaan dan pengalaman dihakimi bertukar menjadi sebuah kekuatan luar biasa.

Selepas kejayaan single terdahulu seperti “G.O.A.T”, DOLLA meneruskan era baharu ini dengan mesej yang sangat peribadi buat setiap ahlinya.
“Jika kami perlu menggambarkan ‘UGLY’ dalam satu perkataan, perkataan itu ialah ‘tanpa kompromi’. Lagu ini adalah tentang menerima dan berdiri teguh dengan siapa diri kita, tanpa membenarkan orang lain menentukan identiti kita,” kongsi DOLLA menerusi kenyataan rasmi.
Apa yang lebih menarik, video muzik “UGLY” tampil dengan sebuah dunia visual memukau yang mendapat inspirasi langsung daripada Wayang Kulit seni persembahan bayang-bayang tradisional Malaysia. Konsep ini dipilih bagi melambangkan jurang perbezaan antara persepsi masyarakat dengan kebenaran yang sebenar.

Menurut kumpulan itu, manusia sering kali menghantar tanggapan hanya berdasarkan bayang-bayang atau khabar angin tanpa melihat gambaran menyeluruh. Justru, lagu dengan bahagian hook berani berbunyi “You better go run, you better go hide” ini berfungsi sebagai peringatan bahawa pandangan luaran tidak semestinya mencerminkan siapa diri kita yang sebenar.
Penggambaran video muzik tersebut turut mencabar kreativiti ahli DOLLA kerana sebahagian besar dunia visualnya dihasilkan pada peringkat pascaproduksi. Menariknya lagi, beberapa babak turut dirakamkan hampir sepenuhnya dalam kegelapan di dalam sebuah rumah tradisional Melayu, sekali gus memberikan aura misteri serta elemen tempatan yang ketara.

Menerusi “UGLY”, DOLLA berharap agar peminat dapat menjadikannya sebagai lagu pilihan tatkala berdepan tekanan atau bebanan pandangan negatif masyarakat.
“Dengarkan lagu ini apabila anda berada dalam suasana ‘baiklah, sudah cukup’. Mainkan lagu ini, ikut rentak anda sendiri dan jangan risau tentang apa yang orang lain mahu katakan,” ujar mereka.
Melangkah ke hadapan, DOLLA bukan sahaja bersedia merangkul segala cabaran, malah menggariskan perancangan strategik untuk memperkukuhkan kehadiran mereka di pentas global serta mendekati khalayak penonton di luar Malaysia.
Single terbaharu “UGLY” kini sudah boleh mula didengarkan di semua platform penstriman muzik utama.

