MOMOYO Makin Laris, Pertaruh Model Francais Buka 500 Cawangan di Malaysia
- oleh Editor MYBUZZ
- 24 Jul 2026 1:42 pm
KUALA LUMPUR – Industri francais makanan dan minuman (F&B) tempatan terus rancak apabila rangkaian minuman dan bakeri popular Asia Tenggara, MOMOYO, mengumumkan sasaran agresif untuk membuka 500 cawangan di seluruh Malaysia menjelang tahun 2027.
Bagi merealisasikan misi ini, MOMOYO kini melancarkan kempen francais secara besar-besaran, sekaligus membuka peluang keemasan kepada usahawan tempatan untuk meraih keuntungan dalam sektor F&B yang semakin berkembang pesat.
Sejak menembusi pasaran Malaysia pada April 2024, MOMOYO telah membuktikan penerimaan luar biasa apabila berjaya membuka sebanyak 220 cawangan dalam tempoh yang singkat. Angka ini dijangka akan melepasi 300 cawangan menjelang akhir tahun 2026.

MOMOYO buka peluang francais baharu kepada usahawan tempatan. Sasar jadi nama paling besar dalam industri minuman dan bakeri Asia Tenggara.
Untuk perancangan jangka panjang, syarikat ini turut menyasarkan pembukaan sehingga 600 cawangan, yang bukan sahaja tertumpu di pusat bandar utama, tetapi juga bakal diperluaskan ke bandar-bandar peringkat kedua serta pasaran baharu di seluruh pelosok negara.
Pengurus Besar MOMOYO Malaysia, Alex Tan berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama buat jenama itu dalam strategi perluasan pengaruhnya di rantau ini.
“Seiring dengan perubahan gaya hidup dan permintaan pengguna, kami percaya model francais kami yang telah terbukti berkesan mampu menawarkan platform yang mudah diakses oleh usahawan yang berminat menceburi industri F&B.
Kami mahu berkembang bersama rakan francais dan berkongsi kejayaan jangka panjang jenama MOMOYO ini,” katanya.
Sokongan Menyeluruh Buat Rakan Francais
Bagi usahawan yang bimbang tentang selok-belok perniagaan, MOMOYO menawarkan jaminan sokongan yang komprehensif. Rakan francais tidak dibiarkan keseorangan, sebaliknya akan dibantu bermula dari pemilihan lokasi, reka bentuk premis, prosedur operasi standard (SOP), latihan profesional, hinggalah kepada pengurusan rantaian bekalan dan operasi harian.
Model perniagaan bersandarkan francais ini bukanlah sesuatu yang baharu buat MOMOYO. Rantaian bekalannya telah pun dibangunkan dan terbukti berjaya di Indonesia, di mana jenama itu mengendalikan lebih 1,500 cawangan.
Secara keseluruhan, MOMOYO memiliki rangkaian kukuh melebihi 2,000 cawangan di seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia, Brunei, Myanmar, Thailand, Vietnam, dan Filipina.
Pilihan Premium Pada Harga Marhaen
Kunci utama kejayaan MOMOYO di Malaysia terletak pada strategi harganya. Dengan tanda harga mampu milik antara RM5 hingga RM10, MOMOYO mensasarkan golongan muda yang menggemari minuman premium seperti teh buah-buahan dan matcha tanpa perlu berbelanja besar.
Selari dengan falsafahnya iaitu “More & More Young, Always More For You”, syarikat ini komited menyajikan produk berkualiti tanpa mengabaikan aspek harga. Lebih membanggakan, MOMOYO telah berjaya memperoleh pensijilan halal dan dikendalikan oleh tenaga kerja yang terdiri daripada 99 peratus rakyat Malaysia.

MOMOYO perkenal produk baharu. Penggemar Matcha & Teh Buah kini ada lebih banyak sebab untuk teruja. – (Tengah) Pengurus Operasi MOMOYO, Mohd Hafizi bin Uzil
Untuk kekal relevan dalam pasaran yang kompetitif, MOMOYO akan terus menampilkan inovasi produk. Terbaru, syarikat itu melancarkan Siri Real Matcha yang diformulasikan dengan kandungan matcha 20 peratus lebih tinggi, serta merancang untuk melancarkan Siri Fresh Brew tidak lama lagi.
Tidak terhenti di situ, MOMOYO merancang untuk memperkenalkan enam hingga lapan produk baharu setiap tahun. Ini termasuk tawaran minuman yang kena dengan tekak rakyat Malaysia seperti perisa cendol, kopi putih, dan gula Melaka.
Menariknya, jenama ini juga akan mengembangkan menu mereka kepada produk bakeri segar, kopi premium, dan donut, mengubah konsep mereka menjadi pusat minuman dan bakeri sehenti.
Bagi usahawan yang berminat untuk menyertai gelombang pengembangan MOMOYO dan membina perniagaan mampan, maklumat lanjut mengenai tawaran francais boleh didapati menerusi laman web rasmi mereka di https://en.momoyo.my/.
