Ikuti Kami:

Viu Original ‘Cela’ Angkat Suspense Psikologi, Gabung Nabila Huda Dan Hun Haqeem

Viu Original ‘Cela’ Angkat Suspense Psikologi, Gabung Nabila Huda Dan Hun Haqeem

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026 – Platform penstriman video terkemuka, Viu, sekali lagi bakal mencetuskan fenomena dalam lanskap hiburan tanah air menerusi pelancaran siri Viu Original terbaharu bertajuk Cela (Broken).

Siri 12 episod terbitan Global Film Station Sdn. Bhd. ini menjanjikan kelainan apabila mengangkat genre suspen psikologi dan cinta gelap (dark romance) yang sarat dengan elemen obsesi, rahsia tersembunyi, serta kemaafan.

Sentuhan ‘Dark Romance’ Pertama Feroz Kader

Naskhah ini mendapat sentuhan pengarah berpengalaman Feroz Kader, yang buat julung kalinya meneroka pengarahan bagi genre dark romance.

Viu Original Cela Angkat Suspense Psikologi, Gabung Nabila Huda Dan Hun Haqeem

Feroz Kader arahkan Cela, siri dark romance gandingan pertama bersama Nabila Huda dan Hun Haqeem.

 

Ketua Bahagian Produksi Viu Malaysia, Imillya Irwani Roslan menjelaskan bahawa Cela diterbitkan untuk mencabar sempadan kandungan penstriman tempatan menerusi penceritaan yang berani.

“Menerusi Cela, kami ingin meneroka sempadan baharu kandungan penstriman tempatan dengan mengetengahkan sebuah naratif berani yang menyelami kompleksiti psikologi di sebalik kesedihan dan dendam.

“Projek ini juga menjadi satu pencapaian yang cukup mengujakan apabila ia menandakan kali pertama Feroz Kader mengarahkan sebuah karya bergenre dark romance, di samping menjadi pengalaman genre baharu buat Nabila Huda, Hun Haqeem dan Zarif Ghazzi,” katanya.

Gandingan Sulung Nabila Huda & Hun Haqeem

Daya tarikan utama Cela pastinya terletak pada gandingan pertama dua nama besar industri hiburan tanah air, iaitu pelakon pemenang anugerah Nabila Huda dan bintang popular Hun Haqeem. Pertemuan dua generasi pelakon dengan kekuatan lakonan tersendiri ini dijangka menjadi antara faktor utama yang menarik perhatian penonton untuk mengikuti siri berkenaan. Keserasian mereka di layar turut menambah elemen emosi dan ketegangan yang menjadi tunjang kepada jalan cerita dark romance ini.

Viu Original Cela Angkat Suspense Psikologi, Gabung Nabila Huda Dan Hun Haqeem

Kenali barisan pelakon siri Cela di Viu, dari Nabila Huda hingga Hun Haqeem.

 

Pengalaman menonton juga diperkaya menerusi lagu tema rasmi berjudul Sejambak Bunga, yang dipersembahkan oleh penyanyi pemenang anugerah, Ernie Zakri. Dengan vokal yang penuh jiwa dan emosi, lagu tersebut dijangka mampu menghidupkan lagi suasana dramatik serta memperkukuhkan impak setiap babak penting dalam siri ini.

Selain Nabila Huda dan Hun Haqeem, Cela turut menampilkan barisan pelakon hebat yang menggabungkan wajah-wajah berpengalaman serta bakat baharu yang semakin mendapat tempat dalam industri. Antaranya ialah Zarif Ghazzi, Ellyza Azizi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Lisdawati dan Zain Saidin, yang masing-masing membawa karakter tersendiri bagi menghidupkan naratif penuh misteri, rahsia dan konflik emosi yang mendebarkan. Kehadiran mereka melengkapkan lagi kekuatan naskhah ini sebagai antara siri tempatan yang paling dinantikan tahun ini.

Plot Sarat Obsesi, Dendam & Pengkhianatan

Cela menyelami kisah Kaer, seorang pelajar sekolah menengah yang berdepan detik sukar apabila kematian bapanya menyebabkan kehidupan keluarga mereka berantakan. Kaer bersama ibunya yang masih berduka kemudian dibawa tinggal bersama seorang jutawan, Datuk Arshad, dan isterinya yang mempesonakan, Datuk Anees.

Viu Original Cela Angkat Suspense Psikologi, Gabung Nabila Huda Dan Hun Haqeem

Cela Viu Original: Kisah obsesi, rahsia dan dendam yang mengubah segalanya.

 

Ketika cuba mencari ketenangan di tengah-tengah tragedi, Kaer mula terikat secara emosi dengan Datuk Anees. Namun, konflik bertukar menjadi gelap apabila Kaer membongkar rahsia pahit bahawa Datuk Anees sebenarnya mempunyai kaitan secara langsung dengan tragedi yang memusnahkan keluarganya.

Terperangkap dalam pusaran dendam dan niat terselindung, Kaer terpaksa berdepan pengkhianatan serta membayar harga yang tinggi atas setiap pilihan yang dibuatnya.

Drama Cela telahpun menemui penonton secara eksklusif di Viu bermula 20 Ogos 2026 yang lalu, episod baharu siri ini akan disiarkan pada setiap hari Khamis dan Jumaat.

Loading...