Legenda Selebriti Kembali Bersinar, Tamimi Siregar Ungguli Konsert Pertama Kilauan Emas Selebriti 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 23 Aug 2026 1:08 pm
SHAH ALAM – Pelakon veteran berkaliber, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar membuktikan bahawa bakat seninya tidak pernah pudar apabila berjaya mengungguli konsert minggu pertama program realiti, Kilauan Emas Selebriti (KES) 2026 yang berlangsung malam tadi di Auditorium MBSA Shah Alam.
Tampil penuh gaya dan penghayatan, beliau yang menyanyikan lagu Penantian (nyanyian asal Zubir Ali) berjaya menambat hati juri sekaligus meraih markah tertinggi keseluruhan sebanyak 78.29 peratus.

Saingan Sengit Di Pentas Bertema ‘3T’
Dengan membawa tema mingguan ‘3T (Try, Test, Tengok)’, konsert sulung Kilauan Emas Selebriti 2026 menyaksikan saingan sengit antara 10 orang selebriti legenda tanah air yang mencabar zon selesa masing-masing. Mengekori rapat di kedudukan kedua ialah pelakon serba boleh, Amyza Aznan yang tampil mendendangkan lagu Kau Racun Hidupku (Sharifah Aini). Kelincahan dan vokal beliau berjaya meraih markah sebanyak 71.28 peratus.
Tempat ketiga pula menjadi milik pelakon berwibawa, Dato’ Jalaludin Hassan yang berjaya mengumpul 70.51 peratus markah menerusi persembahan penuh emosi lagu malar segar Biarlah Bulan Bicara nyanyian asal Broery Marantika. Persembahan beliau yang mantap dan bersahaja berjaya memikat hati juri serta penonton, sekali gus meletakkannya dalam kelompok tiga terbaik pada konsert minggu pertama.

Sementara itu, persaingan di pertengahan carta juga berlangsung sengit apabila Zila Bakarin berada di kedudukan keempat dengan 70.33 peratus menerusi lagu Joget Sayang Disayang. Kedudukan tersebut diikuti rapat oleh Fazlina Ahmad Daud yang meraih 69.66 peratus hasil persembahan Si Manis 17 & Senyummu, manakala Rahhim Omar tidak jauh ketinggalan dengan 69.50 peratus menerusi lagu Istana Menanti.
Melengkapkan kelompok pertengahan ialah Rashdan Baba yang memperoleh 61.56 peratus selepas menyampaikan lagu Kehilangan. Walaupun jurang markah mula kelihatan di antara peserta, saingan masih terbuka luas memandangkan ini hanyalah konsert pertama dan setiap peserta masih berpeluang memperbaiki kedudukan masing-masing pada minggu-minggu seterusnya.
Tiga Bintang Legenda Bergelut Di Kedudukan Terbawah
Nasib bagaimanapun kurang menyebelahi tiga lagi selebriti yang terpaksa akur berada di kedudukan tiga terbawah.
Khaty Azian yang mempertaruhkan lagu Singkong Dan Keju (Ari Wibowo) berada di kedudukan kelapan dengan 60.36 peratus. Beliau diikuti oleh Maria Tunku Sabri yang meraih 58.97 peratus menerusi lagu Malam Pesta Muda Mudi (Saloma). Aktor Mubarak Majid menduduki tempat terakhir dengan markah sebanyak 55.15 peratus selepas membawakan lagu Hanya Nyanyian (S. Effendi).

Buka Panggung, Telan Kaset & Celoteh Hos Bersama Juri
Malam pembukaan Kilauan Emas Selebriti 2026 tidak kurang meriahnya dengan kemunculan pengacara versatil, Raja Azura yang bijak menghidupkan suasana pentas ditemani hos muda yang sedang meningkat naik, Keanu Azman. Mereka turut mengiringi sesi pengenalan barisan juri tetap iaitu Datuk Yusry Abd Halim dan Jihan Muse.
Menariknya, kedua-dua juri ini tidak hanya duduk di kerusi penjurian, malah turut beraksi di segmen Juries Intro. Datuk Yusry tampil menghiburkan penonton dengan lagu Lina (Dato’ Shake), manakala Jihan Muse lincah menyanyikan Nurlela (Bing Slamet).

Konsert ini turut diserikan dengan segmen Buka Panggung yang membariskan persembahan pembukaan bertenaga daripada Azmi Caliph Buskers serta legenda pop yeh yeh, Datuk Jeffrydin yang menyampaikan Mas Mona dan Termenung.
Bagi melabuhkan tirai, segmen Telan Kaset memaparkan persembahan nostalgia lagu Cinta Abadi dan Penantian oleh Ajin (Black Rose) yang berkolaborasi bersama Zulkif (Headwind).
Pentas KES minggu hadapan pdijangka akan bertukar lebih hangat dengan persembahan yang tidak patut dilepaskan. Siapakah yang bakal mencipta fenomena baharu, dan siapa pula yang mungkin terpaksa melangkah pulang? Sama-sama kita nantikan!
