Ikuti Kami:

Dari ‘Banker’ Ke ‘Top Host’, 5 Tahun Adelyn Heng Bukti ‘Survive’ Di Pentas TikTok LIVE!

Dari ‘Banker’ Ke ‘Top Host’, 5 Tahun Adelyn Heng Bukti ‘Survive’ Di Pentas TikTok LIVE!

KUALA LUMPUR – Dalam lambakan wajah baharu yang muncul di alam maya setiap hari, mengekalkan relevansi sebagai pencipta kandungan bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, hos siaran langsung terkenal tempatan, Adelyn Heng, membuktikan bahawa kejayaan sebenar dalam industri penstriman digital bukan terletak pada gelombang viral sekelip mata, melainkan keupayaan untuk kekal bertahan dan konsisten.

Memiliki lebih 236,000 pengikut dan mengumpul melebihi 1.2 juta tanda suka di TikTok, perjalanan hampir lima tahun Adelyn dalam dunia siaran langsung (LIVE) menjadi bukti kecekalan seorang insan yang enggan tunduk pada tekanan industri.

Anjakan Kerjaya Daripada Dunia Perbankan

Siapa sangka, sebelum dikenali ramai di skrin telefon pintar, Adelyn merupakan seorang pegawai bank (banker) yang tidak pernah mendedahkan dirinya dengan dunia penstriman. Pertukaran haluan kerjaya tersebut bermula atas dorongan seorang rakan yang melihat potensi bakat komunikasinya.

Meskipun mengimbas kembali sesi LIVE pertamanya yang penuh gementar dan kekok, Adelyn secara berperingkat mempelajari ‘bahasa’ penstriman dengan memanfaatkan penguasaan pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, dan Mandarin.

“Penonton tidak hanya datang untuk melihat seseorang kelihatan cantik di hadapan kamera. Mereka mahukan hiburan dan ruang yang gembira. Jika perlu menari atau berjenaka untuk membuatkan mereka tersenyum dan melupakan penat seharian, saya gembira melakukannya,” katanya.

Dari 'Banker' Ke 'Top Host', 5 Tahun Adelyn Heng Bukti 'Survive' Di Pentas TikTok LIVE!

Dalam dunia digital yang pantas berubah, Adelyn Heng terus menjadi pilihan komuniti TikTok LIVE.

 

Peranan Agensi & Pengiktirafan Antarabangsa

Transformasi Adelyn daripada seorang yang bergelut mencari topik bualan di hadapan kamera kepada seorang pengacara profesional turut dibantu oleh bimbingan agensi pembangunan bakat, Kami Sempoi International Agency (KSIA). Menerusi sokongan penjenamaan peribadi dan strategi kandungan, Adelyn berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem kerjaya digital.

Antara pencapaian tertinggi yang pernah diraih Adelyn Heng ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Top Host of the Year, satu pengiktirafan yang mencerminkan konsistensi, komitmen serta pengaruhnya dalam dunia penstriman langsung. Anugerah tersebut menjadi bukti bahawa usaha berterusan yang dicurahkan sepanjang membina komuniti dan menghasilkan kandungan berjaya mendapat perhatian serta penghargaan dalam industri.

Selain itu, Adelyn turut mencipta satu lagi detik membanggakan apabila dipilih sebagai wakil Malaysia ke TikTok LIVE Fest, sekali gus membawa nama negara ke pentas antarabangsa. Penyertaan tersebut bukan sahaja mengangkat profilnya sebagai pencipta kandungan tempatan, malah membuktikan bahawa bakat serta dedikasinya mampu bersaing di peringkat global bersama hos-hos terbaik dari seluruh dunia.

 

Tewas Tekanan Mental & Niat Mahu Berhenti

Di sebalik tawa dan aura positif yang dipamerkan di hadapan skrin, Adelyn tidak terkecuali daripada mengalami fasa gelap. Beliau mengakui pernah berdepan tekanan emosi dan burnout yang teruk selama satu hingga dua bulan akibat terlalu memikirkan jumlah tontonan dan penerimaan penonton.

Malah, niat untuk mengundurkan diri daripada bidang ini pernah terlintas beberapa kali di fikirannya. Tekanan untuk sentiasa menghasilkan kandungan, mengekalkan perhatian penonton dan tampil dengan tenaga yang konsisten di hadapan kamera bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun, setiap kali berdepan dengan keraguan tersebut, sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga serta mesej-mesej positif yang diterimanya daripada komuniti pengikut menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan dan bangkit meneruskan perjalanan sebagai hos TikTok LIVE.

Dari 'Banker' Ke 'Top Host', 5 Tahun Adelyn Heng Bukti 'Survive' Di Pentas TikTok LIVE!

Pernah tertekan dan hilang arah, Adelyn Heng kini lebih matang mengharungi dunia LIVE.

 

Menariknya, pengalaman hampir lima tahun dalam dunia penstriman langsung turut membawa perubahan terhadap personalitinya. Jika suatu ketika dahulu beliau menganggap dirinya seorang yang sangat ekstrovert, Adelyn kini menyedari dirinya lebih cenderung menjadi seorang introvert apabila berada di luar skrin.

Perubahan itu dilihat sebagai cara untuk mengimbangi tenaga selepas menghabiskan berjam-jam berinteraksi dengan penonton, sekali gus memberi ruang kepada dirinya untuk berehat dan mengisi semula tenaga mental.

Dalam berdepan dengan komen negatif pula, Adelyn mengambil pendekatan yang lebih santai dan matang. Kritikan atau pandangan yang kurang menyenangkan sering ditangani dengan jenaka atau tidak terlalu diambil hati. Baginya, tidak semua orang akan menyukai apa yang dilakukan, dan itu adalah sebahagian daripada realiti dunia digital.

Namun, bagi komen yang melampaui batas atau bersifat tidak wajar, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada moderator untuk ditangani demi memastikan ruang LIVE yang dibinanya kekal positif, selamat dan selesa untuk semua.

Bukan Jalan Pintas: Mesej Buat Belia

Menitipkan nasihat mesra buat generasi muda yang ingin menceburi bidang penstriman langsung, Adelyn menegaskan bahawa kerjaya ini bukan platform cepat kaya. Beliau menyarankan agar golongan muda menimba pengalaman hidup dalam masyarakat terlebih dahulu bagi membentuk ketahanan mental sebelum melangkah penuh ke dunia digital.

Bagi Adelyn Heng, kejayaan sebenar bukanlah trofi semata-mata, tetapi jalinan hubungan ikhlas bersama komuniti yang sentiasa memilih untuk kembali menontonnya saban hari.

Loading...