Ikuti Kami:

Gegar Kuantan Sempena Merdeka: Perhimpunan Harley-Davidson Tawar ‘Test Ride’ Percuma dan Hadiah Motosikal!

Gegar Kuantan Sempena Merdeka: Perhimpunan Harley-Davidson Tawar ‘Test Ride’ Percuma dan Hadiah Motosikal!

Foto Ketua Pegawai Eksekutif Riuh Entertainment & Trading, Ady Hafize (berbaju Biru)bersama pemilik-pemilik motosikal Harley Davidson yang akan sertai Community Members, Pahang Auto Show 2K26.

KUALA LUMPUR — Deruman enjin V-Twin yang ikonik bakal menggegar Pantai Timur sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 apabila ratusan pemilik dan peminat motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson dari seluruh negara bersiap sedia berkumpul di Kuantan, Pahang.

Perhimpunan berprestij menerusi acara Community Members, Pahang Auto Show 2K26 itu dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 29 Ogos hingga 31 Ogos 2026, bertempat di Perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan. Program anjuran Riuh Entertainment & Trading dengan kerjasama Harley Davidson Petaling Jaya serta Harley Davidson Malaysia ini bakal dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam. Penganjuran acara skala besar ini turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan serta Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Ketua Pegawai Eksekutif Riuh Entertainment & Trading, Ady Hafize menjelaskan bahawa penganjuran ini bertindak sebagai platform strategik untuk melepaskan stigma masyarakat terhadap motosikal Harley Davidson yang kerap dikaitkan dengan bunyi bising dan harga tidak terjangkau.

“Kita tak nak rakyat pandang kalau Harley saja, ekzos bising. Sebab sistem enjinnya memang macam tu dan bukan diubah suai. Kita nak bagi pendedahan kepada orang ramai. Bila kita buat perhimpunan dan pameran macam ni serta test ride, jadi orang ramai boleh tahu pasal motor Harley. Pada mereka yang berminat pasal Harley tapi tak mampu miliki boleh test ride. Harap rebutlah peluang ini di event itu nanti,” katanya.

Beliau menambah, persepsi bahawa Harley Davidson hanya untuk golongan tertentu semata-mata adalah kurang tepat kerana pada dasarnya ia mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja yang mempunyai minat mendalam.

Bagi menyemarakkan lagi semangat kebangsaan, acara konvoi khas “Sunset Ride Merdeka” turut dibuka kepada semua pemilik Harley Davidson dengan penyertaan pelbagai kelab utama seperti HOG Malaysia, HOG PJ, HOG JB, HOG Pahang, Bikers Chef Malaysia, Kuantan Harley Owner, WMGS PHG, HD PHG, Neo Bruder MC dan Pahang Rider Harley Owner Temerloh.

Selain pameran automotif, pengunjung yang hadir turut berpeluang membawa pulang hadiah lumayan. Dengan pembelian cenderamata (merchandise) rasmi di booth jualan baju Community Members siri Merdeka, pengunjung secara automatik layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal sebagai hadiah utama serta pelbagai barangan eksklusif keluaran Harley Davidson pada 31 Ogos, jam 2.00 petang.

Bagi anak muda berumur 17 hingga 30 tahun yang berbakat dalam bidang nyanyian, Pertandingan Karaoke Community Members menawarkan peluang keemasan menjadi artis rakaman di bawah label berprestij Nova Music dan Kijang Music. Pertandingan percuma yang dinilai oleh komposer tersohor Eddie Hamid selaku Ikon Community Members ini memerlukan peserta membawa muzik minus one sendiri bagi lagu-lagu retro 80-an dan 90-an.

Saringan bermula pada 29 Ogos untuk memilih lima finalis yang akan beradu di pentas akhir pada 30 Ogos, serta berpeluang berduet dengan penyanyi popular seperti Blank Gamma, Shafie Rio, Isa Gravity dan Tuah Azmi semasa Malam Ambang Merdeka.

Tidak ketinggalan, golongan kanak-kanak berusia 5 hingga 10 tahun juga diraikan menerusi pertandingan mewarna percuma pada hari pertama acara. Maklumat lanjut berkenaan tentatif penuh boleh didapati menerusi akaun TikTok rasmi Community members.

Loading...