Ikuti Kami:

Satu Abad Membina Legasi: FORTRAIN Raikan Ulang Tahun ke-100 Perkasakan Sektor Perhutanan Negara

Satu Abad Membina Legasi: FORTRAIN Raikan Ulang Tahun ke-100 Perkasakan Sektor Perhutanan Negara

KUALA LUMPUR – Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN), sebuah institusi di bawah tadbir urus Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), kini melangkah gagah ke mercu pengiktirafan dengan sambutan ulang tahun ke-100 penubuhannya.

Majlis bersejarah yang menandakan satu abad kegemilangan dalam melahirkan tenaga mahir sektor perhutanan ini telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup. Dalam ucapannya, beliau memberi pengiktirafan tinggi kepada dedikasi JPSM yang konsisten melahirkan tenaga kerja profesional melalui latihan teknikal dan praktikal yang komprehensif.

FORTRAIN kini terus memfokuskan kepada pembangunan modal insan, pemindahan teknologi, serta penerapan pengurusan hutan mampan yang selaras dengan keperluan industri semasa. Perjalanan institusi ini bermula pada tahun 1926 apabila ia ditubuhkan oleh tokoh perhutanan, D.H. Hodgson, dengan nama asal Sekolah Perhutanan Kepong (SPK). Bermula dengan hanya 12 orang pelatih pada peringkat awal, institusi ini telah berkembang pesat menjadi pusat latihan utama negara.

Sejak dijenamakan semula sebagai FORTRAIN pada tahun 2010, program latihannya telah diperkukuh dengan integrasi teknologi moden termasuk Kecerdasan Buatan (AI), Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Penderiaan jauh dan penggunaan dron. Sehingga kini, seramai 6,369 pelatih telah berjaya dilahirkan dan kini berkhidmat dalam pelbagai sektor penting termasuk alam sekitar, landskap, ekopelancongan, dan pengurusan sumber asli di seluruh Malaysia.

Sempena sambutan jubli seratus tahun ini, JPSM turut merasmikan kemudahan asrama baharu yang bernilai RM20.8 juta. Kemudahan berkapasiti 98 bilik ini mampu menempatkan seramai 196 pelatih dalam persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa.

Sebagai simbolik kepada sambutan penuh bermakna ini, YB Menteri telah menyempurnakan upacara menanam pokok spesies Daun Sang (Johannesteijsmannia altifrons). Spesies ini merupakan sejenis pokok palma hutan endemik yang sangat jarang ditemui dan unik di rantau Malaya-Borneo.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen teguh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta JPSM dalam memastikan pengurusan hutan negara terus mampan melalui penyediaan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berintegriti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Loading...