Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Sasar 250,000 Kehadiran di Stadium Likas
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Jun 2026 10:18 am
KOTA KINABALU: Pekarangan Stadium Likas dijangka bergema dengan kehadiran kira-kira 250,000 pengunjung bersempena dengan Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung bermula 11 hingga 14 Jun ini.
Program mega anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu bakal disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Jun 2026. Mengangkat tema “Bersama Membina Negara Bangsa”, penganjuran Minggu Perpaduan 2026 ini dilihat sebagai wadah penting untuk memupuk keharmonian rakyat berbilang kaum, agama, dan budaya di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program berskala besar ini menjadi tapak integrasi berkesan untuk masyarakat merasai sendiri erti perpaduan dari peringkat akar umbi.
“Apabila nilai saling menghormati, memahami dan menerima kepelbagaian berjaya dipupuk dalam komuniti setempat, ia akan menjadi asas kukuh kepada pembentukan sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan sejahtera. Perpaduan di peringkat akar umbi inilah yang menjadi kekuatan utama kestabilan dan kemajuan Malaysia,” katanya.
Bagi memastikan pengunjung dari pelbagai lapisan umur terhibur, lebih 50 aktiviti menarik telah disediakan sepanjang empat hari sambutan Minggu Perpaduan 2026 berlangsung. Antara tarikan utama yang dijangka mencuri tumpuan ialah Pameran Rumah KAMI yang menampilkan keunikan 15 rumah etnik termasuk Kadazan, Rungus, Murut, Iban, Orang Ulu, Bajau, Chetti, dan Portugis. Melalui pameran ini, pengunjung berpeluang melihat sendiri alatan muzik, tarian, pakaian tradisional serta adat perkahwinan pelbagai etnik dengan lebih dekat.
Selain itu, Perkampungan Etnik Melayu, Cina, India, Baba Nyonya dan Siam turut dibawakan khusus dengan pelbagai pengisian interaktif. Tidak ketinggalan, pelbagai pameran jabatan kerajaan, aset keselamatan, inisiatif Jualan Rahmah, serta jualan usahawan tempatan turut menanti orang ramai.

Bagi menarik minat generasi muda pula, KPN menyediakan pelbagai tarikan moden dan pendidikan seperti permainan e-sports, platform realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) Metaverse, Pameran Petrosains, serta pesta buku dan sukan tradisional.
Kemuncak acara hiburan pastinya terarah kepada Konsert Malam Unity Sama-sama yang membariskan artis ternama tanah air. Antara bintang yang bakal menggegarkan pentas termasuklah Datuk Awie, Jaclyn Victor, Estranged, Velvet Aduk, Qiqi Chen dan artis sensasi, Zubir Khan. Turut memeriahkan suasana ialah Pertandingan Sabah Idol dan Pertandingan Ratu Perpaduan.
Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya warga Sabah, untuk turun beramai-ramai memeriahkan acara ini memandangkan kemasukan adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman media sosial rasmi KPN.
