ATM Perkukuh Kesetiaan Kepada Raja Melalui Istiadat Panji-Panji 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Jun 2026 1:57 pm
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan tabik hormat kepada perarakan panji-panji semasa Istiadat Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Dataran Pahlawan, Presint 1, hari ini. Turut hadir menyaksikan istiadat tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
PUTRAJAYA – Dataran Pahlawan Negara hari ini bertukar wajah menjadi medan gilang-gemilang apabila berlangsungnya Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong Bagi Tahun 2026.
Istiadat ketenteraan yang penuh dengan tradisi resimen ini merupakan manifestasi tertinggi ketaatsetiaan dan ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi angkatan tentera negara.
Menjadi acara utama sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda, istiadat penuh adat ini secara tradisinya dilaksanakan sebanyak tiga kali sahaja sepanjang tempoh pemerintahan lima tahun seseorang Sultan, iaitu pada tahun pertama, ketiga, dan tahun terakhir. Penganjuran pada tahun 2026 ini merupakan edisi kedua selepas kali pertama dilaksanakan dengan jayanya pada tahun 2024 yang lalu.

Menzahirkan kesiapsiagaan, disiplin tinggi, dan kesatuan benteng pertahanan negara, perbarisan kali ini menghimpunkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Segala aturan operasi dikendalikan dengan penuh teliti membabitkan seramai 148 pegawai serta 1,192 anggota lain-lain pangkat yang mengisi elemen perbarisan serta sokongan luar padang.
Sebanyak lima Panji-Panji SPB Yang di-Pertuan Agong telah diarak dengan penuh penghormatan dalam istiadat berkenaan. Perarakan tersebut melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sekali gus mencerminkan penyertaan menyeluruh ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panji-panji ini bukan sekadar lambang kemegahan visual dalam tradisi ketenteraan, malah membawa nilai sejarah perjuangan yang amat besar. Ia turut memaparkan “Battle Honours”, yang menjadi simbolik kepada keberanian, pengorbanan serta legasi pengabdian para perwira terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
Suasana istiadat pada kali ini bertambah gah dengan pengisian elemen tradisi ketenteraan yang mengujakan. Antaranya termasuklah sesi Hormat Diraja, diikuti dentuman Tembakan Kehormatan Artileri sebanyak 21 das yang disempurnakan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Tidak ketinggalan, ruang udara diceriakan dengan aksi terbang lintas hormat oleh lima buah pesawat helikopter ATM yang megah membawa Jalur Gemilang, Bendera ATM, serta bendera ketiga-tiga cabang perkhidmatan tentera. Kesemua pergerakan di padang diiringi alunan muzik penuh bersemangat daripada gabungan Pancaragam Pusat ATM.
Selain mengukuhkan ikatan antara istana dan angkatan tentera, acara ini turut menjadi medium penting bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat jelata, terutamanya generasi muda untuk memahami erti disiplin, taat setia, dan pengorbanan.
Dalam pada itu, pihak ATM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi dan kementerian yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran majlis, termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Putrajaya, Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan Jabatan Penerangan Malaysia.
Gambar: FB/Rela Malaysia
