Gempak Dua Malam! Malaysia Jadi Destinasi Akhir ‘Pertunjukan Membangun & Menghancurkan’ Oleh .Feast
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Jun 2026 2:57 pm
KUALA LUMPUR – Demam rock alternatif Indonesia bakal melanda ibu kota apabila kumpulan terkemuka, .Feast, bersedia menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi siri konsert istimewa dua malam, “Pertunjukan Membangun & Menghancurkan”, yang berlangsung pada 5 dan 6 Jun 2026.
Penganjuran ini mencatatkan satu sejarah tersendiri memandangkan Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi terakhir bagi siri jelajah tersebut, sekali gus menandakan kemunculan sulung .Feast mengendalikan showcase solo mereka di Malaysia.

Foto Ahli Kumpulan .Feast yang terdiri daripada Daniel Baskara Putra (Vokalis), Adnan Satyanugraha Putra (Gitaris), Dicky Renanda Putra (Gitaris), Fadli Fikriawan Wibowo (Pemain Bass) ditemui pada sidang media di CitizenM Kuala Lumpur hari ini
Ditubuhkan pada tahun 2013, kumpulan yang dianggotai oleh Daniel Baskara Putra, Adnan Satyanugraha Putra, Dicky Renanda Putra, dan Fadli Fikriawan Wibowo ini sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pencinta muzik serantau. Mereka diiktiraf sebagai antara nama paling berpengaruh dalam arena rock alternatif Asia Tenggara berikutan kelantangan mereka mengetengahkan karya-karya yang sarat dengan pemerhatian sosial serta penulisan lirik yang cukup tajam.
Konsep “Pertunjukan Membangun & Menghancurkan” ini diinspirasikan sepenuhnya daripada naskhah album ketiga mereka yang memegang judul sama, Membangun & Menghancurkan. Album yang sangat peribadi ini merakamkan refleksi perjalanan setiap ahli kumpulan sepanjang sedekad berada dalam industri—merangkumi fasa jatuh bangun, proses meruntuhkan ego, serta membina semula jati diri mereka sebagai individu dan sebuah kumpulan tegar. Sebagai bukti kualiti, karya hebat ini telah dinobatkan sebagai Album Rock Terbaik di Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2025.
Sebelum mendarat di Malaysia, siri persembahan berskala besar ini telah pun berlangsung di Jakarta dan Surabaya dengan rekod jualan tiket yang habis terjual, membuktikan betapa impak naratif yang dibawa oleh .Feast ini sangat dinantikan.
Konsert di Kuala Lumpur kali ini dianjurkan oleh TAPAUasia dengan kerjasama Sun Eater. Bagi memberikan kepuasan maksimum, persembahan ini direka khas untuk menjadi sebuah pengalaman live yang imersif buat penonton dengan elemen kejutan seperti kemunculan marching band, barisan penari serta adunan rekaan visual dan sistem pencahayaan dramatik bagi menghidupkan penceritaan album di atas pentas.
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan malam penuh bertenaga ini, tiket-tiket adalah terhad dan boleh diperoleh secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.TAPAUtix.asia.
