Ikuti Kami:

Selepas 18 Tahun, Legasi Peterpan Kembali Bertaut Lewat Konsert ‘Semua Tentang Kita’ di Malaysia

Selepas 18 Tahun, Legasi Peterpan Kembali Bertaut Lewat Konsert ‘Semua Tentang Kita’ di Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerinduan mendalam para peminat terhadap lagu-lagu puitis kumpulan rock legenda Indonesia, Peterpan, akhirnya bakal terubat apabila rantaian muzik mereka kembali bersambung secara rasmi. Menerusi satu Sidang Media Antarabangsa yang dipancarkan secara serentak di Jakarta, Kuala Lumpur, dan Singapura, siri konsert berskala mega bertajuk “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” diumumkan bakal menemui peminat di Malaysia tidak lama lagi.


Foto Wakil Penganjur ketika sidang media bertempat Cili Kampung, Sunway

Selepas 18 tahun, pengumuman ini bukan sekadar sebuah konsert imbasan nostalgia biasa, sebaliknya ia merupakan satu kesinambungan perjalanan muzik agung yang telah berjaya merentasi sempadan generasi selama lebih dua dekad di rantau Nusantara. Bagi peminat di tanah air, konsert yang dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2026 bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya, sejurus selepas mereka menggegar pentas The Star Theatre di Singapura pada 3 Julai.


Foto Layout tempat duduk konsert “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita”

Paling mencuri tumpuan, siri jelajah istimewa ini bakal mempertemukan semula barisan anggota pengasas asal Peterpan yang telah membentuk legasi kumpulan ini, iaitu Ilsyah Ryan Reza (Reza), Loekman Hakim (Loekman), Andika Naliputra Wirahardja (Andika), dan Hendra Suhendra (Indra). Bagi menghidupkan semula soundtrack zaman muda jutaan peminat, pentas konsert nanti turut akan dimeriahkan dengan penampilan barisan artis terkemuka tiga negara.

Antara nama besar yang disahkan bakal berkongsi pentas ialah Marcello Tahitoe (Ello), Tantri Syalindri (Kotak), Rony Parulian, Arda Hatna, Charly Van Houten, serta bintang vokal tersohor Malaysia, Hael Husaini, yang mana mereka semua bakal menyanyikan untaian lagu-lagu malar segar kegilaan ramai seperti “Mimpi Yang Sempurna”, “Semua Tentang Kita”, “Ada Apa Denganmu”, dan “Bintang di Surga”. Menariknya, konsert anjuran PT Aloka Persada dengan kerjasama Project Glokalise Sdn Bhd ini turut membuka ruang buat generasi muda menerusi program inisiatif “Vokalis Peterpan ERA”.

Kerjasama bersama stesen radio Astro ERA ini bertujuan mencari bakat baharu yang membesar dengan muzik Peterpan untuk merasai sendiri pengalaman magis berkongsi pentas bersama barisan legenda tersebut. Pihak penganjur menyatakan bahawa lagu-lagu Peterpan bukan sekadar karya muzik, tetapi telah menjadi sebahagian daripada kenangan hidup di mana ramai peminat yang membesar bersama lagu-lagu ini kini kembali bersama pasangan serta sahabat untuk menghidupkan semula memori lama mereka.

Sebagai tanda penghargaan buat sokongan luar biasa peminat tempatan, pihak penganjur turut memperkenalkan Promosi Couple Price terhad untuk 100 pasangan terawal bagi setiap kategori yang ditawarkan. Menerusi tawaran istimewa ini, tiket Cat 1 ditawarkan pada harga RM450 untuk dua orang, manakala tiket Cat 2 pula berharga RM280 untuk dua orang. Bagi peminat yang tidak mahu ketinggalan mencipta memori baharu dan menyaksikan salah satu acara muzik Nusantara paling bersejarah tahun ini, tiket rasmi bagi konsert di Malaysia sudah boleh didapati menerusi platform Ticket2U dan Fantopia. Jangan tunggu sehingga anda hanya mampu berkata “Mungkin Nanti”!

Loading...