Ikuti Kami:

PETRA Serah Enam Projek Siap Bernilai RM83.46 Juta Kepada Kerajaan Negeri Selangor

PETRA Serah Enam Projek Siap Bernilai RM83.46 Juta Kepada Kerajaan Negeri Selangor

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengukuhkan lagi daya tahan infrastruktur dan keselamatan di Selangor dengan menyerahkan enam projek yang telah siap sepenuhnya bernilai RM83.46 juta kepada Kerajaan Negeri Selangor. Penyerahan enam projek yang merangkumi tiga projek kawalan hakisan pantai, satu projek pemuliharaan pantai, dan dua projek mitigasi banjir sungai ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, YBhg. Datuk Ir. Mohamad Radzi bin Abdul Talib, kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin. Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, serta Ketua Setiausaha PETRA, YBhg. Dato’ Sri Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli yang mewakili YAB Menteri PETRA.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, bagi projek kawalan hakisan pantai di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor, kos keseluruhan RM9.26 juta telah dimanfaatkan untuk menaik taraf struktur perlindungan pantai di Sungai Haji Dorani, Pantai Batu 23, serta kawasan Kampung Sungai Janggut dan Kampung Tok Adam. Langkah ini direka khusus bagi mengurangkan ancaman hakisan serta limpahan air laut terutamanya ketika fenomena air pasang besar, sekali gus melindungi penempatan penduduk dan kawasan pertanian. Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut menyiapkan Projek Pemuliharaan Pantai Morib berharga RM60.50 juta yang dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,000 penduduk setempat menerusi pengurangan risiko hakisan pantai yang berpanjangan.

Manakala bagi mitigasi banjir sungai, dua projek utama bernilai RM13.7 juta telah diserahkan, merangkumi kerja pengukuhan tebing Sungai Penchala di Petaling Jaya dengan kos RM4.3 juta yang melindungi 5,000 penduduk, serta projek naiktaraf Sungai Kemensah di Hulu Kelang bernilai RM9.4 juta yang berkeupayaan menstabilkan tebing dan mengelakkan kerosakan harta benda 200 buah rumah dan premis. Sebagai komitmen berterusan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan sebanyak 25 projek di bawah Rolling Plan Pertama Tahun 2026 RMKe-13 bernilai RM3.639 bilion merangkumi tebatan banjir, saliran, dan pemulihan koridor sungai demi menyokong pembangunan sosioekonomi mampan di Negeri Selangor.

Loading...