Ikuti Kami:

Tiga Dekad Di Pentas Nasyid: Hijjaz Kembali Dengan Album Baharu Dan Konsert ‘Rindu Sumayyah’

Tiga Dekad Di Pentas Nasyid: Hijjaz Kembali Dengan Album Baharu Dan Konsert ‘Rindu Sumayyah’

PETALING JAYA – Kumpulan nasyid legenda tanah air, Hijjaz, bakal mengubat rindu para peminat dan pencinta irama ketuhanan menerusi peluncuran album studio terbaharu mereka yang berjudul “Akhir Bersamamu” pada bulan Julai ini. Album yang dijadualkan menemui pendengar di semua platform penstriman digital utama bermula 10 Julai 2026 itu diraikan dalam satu Majlis Sidang Media Khas bagi berkongsi perincian lanjut mengenai penghasilan produk terbaharu ini bersama rakan media dan penggiat industri. Diterbitkan di bawah syarikat Inteam Records Sdn. Bhd., projek khas ini menjadi saksi kedewasaan muzikal Hijjaz setelah hampir tiga dekad bertapak dalam industri muzik tanah air serta diharap mampu menjadi penawar dan inspirasi buat masyarakat.


Foto Kumpulan Hijjaz terdiri daripada Isman Hijjaz, Munif Hijjaz, Faizal Hijjaz dan Ariffin Rahim dan penganjur Inteam Records, Hazamin & Rahim di sidang media

Album “Akhir Bersamamu” memuatkan enam buah lagu baharu iaitu Salam Maulidur Rasul, Mati Itu Pasti, Inang Cinta Memuji, Akhir Bersama-MU, Seiring Seganding, dan Rufaidah Al-Aslamiyah. Kesemua trek ini kekal menampilkan identiti harmoni vokal unik Hijjaz dengan sentuhan komposer berpengalaman yang juga anggota kumpulan itu sendiri iaitu Isman Hijjaz, Munif Hijjaz, Faizal Hijjaz, dan Ariffin Rahim, serta kolaborasi bersama penulis lirik puitis seperti Datuk Habsah Hassan, Lukhman S, Ahmad Fedtri Yahya, Atie, Isman Isam, dan Abai Os.

Seiring dengan sambutan tiga dekad penglibatan mereka, penganjur Inteam Records turut mengumumkan pelan tempat duduk serta struktur harga tiket bagi Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah. Tiket konsert ditawarkan mengikut pelbagai kategori zon iaitu Janji Khalifah (RM150), Rindu (RM180), Pesona Cinta (RM200), Pelita Hidup (RM250), Fatamorgana (RM300), Lukisan Alam (RM350), dan kategori utama Sumayyah (RM450). Pihak penganjur turut menyediakan cadangan pembahagian zon mengikut kesesuaian bagi pembeli tiket merangkumi zon lelaki, wanita, serta keluarga.

Loading...