Ikuti Kami:

Festival Ayam Goreng Terbesar Malaysia Kembali, 8 Ayam Lejen Berentap Dalam Satu Lokasi!

Festival Ayam Goreng Terbesar Malaysia Kembali, 8 Ayam Lejen Berentap Dalam Satu Lokasi!

KUALA LUMPUR – Jika ada satu jenis hidangan yang paling ampuh dan sentiasa berjaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, jawapannya sudah pasti ialah ayam! Berita gembira buat semua pencinta makanan tegar di luar sana, FriedChillies dengan bangganya mengumumkan kepulangan festival ayam goreng terbesar anjuran mereka, Ayam Lejen III.

Bakal berlangsung pada 25 hingga 26 Julai 2026, festival edisi ketiga ini memilih Datum Jelatek Shopping Centre sebagai gelanggang utama.

Istimewanya kali ini, seramai lapan jenama ayam paling popular dan terkenal di sekitar Lembah Klang bakal dihimpunkan di bawah satu bumbung demi meraikan kepelbagaian gaya masakan kegemaran ramai.

Festival Ayam Goreng Terbesar Malaysia Kembali, 8 Ayam Lejen Berentap Dalam Satu Lokasi!

Festival Ayam Lejen III akan kembali pada 25-26 Julai 2026, himpunkan 8 jenama ayam goreng popular di Datum Jelatek, Kuala Lumpur

 

Satu Lokasi, Macam-Macam Vibe Ayam!

Pengunjung yang hadir berpeluang merasai sendiri perbezaan variasi hidangan ayam bermula daripada Nashville Hot Chicken, ayam goreng rangup tempatan, ayam pressure fried, ayam bersalut sos ala Korea, kepak ayam barbeku, sehinggalah kepada kelazatan ayam golek klasik.

Bagi memastikan peminat tegar dapat mencuba kesemuanya, setiap vendor akan menyediakan set sampler eksklusif pada harga yang mesra poket. Langkah ini sekali gus memudahkan orang ramai membuat perbandingan sebelum menentukan siapakah yang layak digelar ‘juara’ sebenar.

Berikut adalah senarai 8 jenama ‘lejen’ yang bakal berentap pada hujung minggu ini:

Festival Ayam Goreng Terbesar Malaysia Kembali, 8 Ayam Lejen Berentap Dalam Satu Lokasi!

  • Fowlboys Diner (The MET Corporate Towers)
  • Hot Bird (TRX, KL)
  • Hott Chickk (TTDI, KL)
  • Muiz Hot Chicken (Bandar Seri Putra)
  • Ayam Goreng Berhantu (Kampung Pandan Dalam)
  • Supernomms Fried Chicken (AEON Mall Shah Alam)
  • Cowboys Barbecue & Grill (Ara Damansara)
  • Ayam Masywi (Taman Gombak)

Keunikan Resipi Rahsia Setiap Vendor

Walaupun sekilas pandang semuanya kelihatan seperti menu ayam biasa, namun penganjur menjamin setiap jenama membawakan identiti rasa yang sangat berbeza. Sebagai contoh, Fowlboys Diner dan Hot Bird sedia mencabar selera pengunjung dengan Nashville Hot Chicken rangup serta tahap kepedasan ekstrem sehingga menggunakan cili Carolina Reaper.

Manakala jenama tempatan seperti Muiz Hot Chicken mempertaruhkan ketepatan masa menggoreng selama 13 minit untuk kerangupan yang sempurna. Bukan itu sahaja, Ayam Masywi pula hadir membuktikan bahawa gelaran legenda tidak semestinya perlu digoreng, menerusi sajian ayam golek mereka yang dipanggang perlahan di atas api terbuka sejak tahun 1999.

Festival Ayam Goreng Terbesar Malaysia Kembali, 8 Ayam Lejen Berentap Dalam Satu Lokasi!

 

Festival Ayam Lejen II terakhir diadakan pada tahun 2018 menerima sambutan yang menggalakkan dari peminat ayam goreng, makanan yang berjaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

 

Masuk Adalah Percuma!

Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Adly Rizal, menyatakan bahawa festival ini merupakan medan terbaik untuk menjawab persoalan orang ramai mengenai ayam mana yang paling sedap.

“Jawapan kami sentiasa sama — datang sendiri, makan, bandingkan dan tentukan. Itulah yang menjadikan Ayam Lejen begitu istimewa,” katanya.

Selain daripada pesta makan-makan, festival yang menyediakan kemasukan percuma ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif menarik seperti sesi debat ayam goreng, pertandingan makan buat mereka yang berani, aktiviti keluarga, serta hiburan pentas.

Memandangkan lokasi Datum Jelatek Shopping Centre mempunyai akses jambatan berbumbung terus dari Stesen LRT Jelatek, pengunjung sangat digalakkan untuk menaiki pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan trafik. Pesta ini akan bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Jadi, pastikan anda datang awal bersama keluarga untuk memburu set sampler kegemaran anda!

Loading...