Tema ‘Love Tune’ Uji Emosi Peserta Big Stage, Ranisha Kembali Rangkul Tempat Pertama, Rieffa Gagal Tambat Hati Juri
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 Jul 2026 11:16 am
SHAH ALAM – Penuh dengan emosi dan pesona cinta. Begitulah ragam pentas Konsert Minggu 4 Big Stage Rocketfuel yang menyaksikan sembilan peserta bertarung hebat di bawah tema romantis, ‘Love Tune’.
Bertindak selaku penguji keupayaan vokal dan penghayatan, tema lagu cinta nyata memberikan cabaran tersendiri buat barisan bintang muda ini dalam usaha memikat hati juri tetap, Hael Husaini, Aisha Retno, dan Akim Ahmad dalam konsert yang berlansung malam tadi di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Ranisha Mengganas Di Kedudukan Teratas
Tuah nyata menyebelahi Ranisha apabila persembahan penuh asyik yang diberikan menerusi lagu Nak Dara Rindu nyanyian asal Dayang Nurfaizah berjaya memukau barisan juri. Pertaruhan itu membolehkan beliau kembali merangkul kedudukan pertama dengan markah tertinggi sebanyak 74.67%. Ranisha menerima markah konsisten daripada Hael Husaini (75), Aisha Retno (75), manakala Akim Ahmad memberikan 74 markah.
Mengekor rapat di tangga kedua ialah Danny yang mempertaruhkan lagu Sampai Mati (Hazama) dengan kutipan markah 70.67%, manakala Adam Nazmie yang mendendangkan lagu Nurcinta (Amir Masdi) selesa di tempat ketiga dengan 70.00%.

Rieffa Kecewa Di Tangga Tercorot
Di sebalik sorakan gembira barisan pemenang, nasib kurang menyebelahi Rieffa apabila persembahannya menerusi lagu balada Terakhir (Sufian Suhaimi) gagal meninggalkan impak besar di telinga juri. Akur berada di tangga tercorot, Rieffa sekadar meraih kutipan mata terendah iaitu 65.00%.
Kedudukan itu meletakkan Rieffa di bawah Aliff Kimiey yang berada di tangga kelapan dengan markah 65.33%, sekaligus menyekat kemaraan Rieffa ke minggu hadapan. Berikut merupakan keputusan penuh dan senarai markah Konsert Minggu 4 Big Stage Rocketfuel:

Dengan persaingan yang semakin sengit dan jurang markah yang semakin rapat, kesemua peserta kini perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan kedudukan mereka terus selamat untuk melangkah ke konsert minggu seterusnya.
