Ikuti Kami:

Art of Speed 2026 Rayakan Edisi Ke-15: Sinergi Budaya Kustom Automotif dan Festival Muzik Berskala Mega

Art of Speed 2026 Rayakan Edisi Ke-15: Sinergi Budaya Kustom Automotif dan Festival Muzik Berskala Mega

SERDANG – Demam subbudaya automotif, fesyen jalanan, dan muzik bakal mencapai kemuncaknya apabila acara tahunan Kustom & Counter Culture terbesar di Malaysia, Art of Speed (AOS) 2026, kembali menggegar Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 1 dan 2 Ogos ini.

Meraikan penganjuran edisi ke-15, AOS 2026 tampil lebih bertenaga menerusi tema “Summer Festival – Kustom Bergaya”. Acara berskala mega ini memanfaat ruang dalaman seluas 452,084 kaki persegi serta kawasan luar mencecah 320 ekar bagi menyatukan kelestarian gaya hidup automotif dan persembahan muzik langsung dalam satu hujung minggu yang serba imersif.

Art of Speed 2026 Rayakan Edisi Ke-15: Sinergi Budaya Kustom Automotif dan Festival Muzik Berskala Mega

Dari kiri: En. Muhammad Hazwan Hussein, Ketua Pegawai Operasi MAEPS; Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival Art of Speed (AOS); dan En. Harith Hadziq, Penolong Pengurus Acara dan Pelancongan Fokus, Tourism Selangor.

 

SoundCircus Festival 2026: Rekod Baharu 6 Pentas, Artis Gergasi & Flying Fox!

Edisi kali ini melakar sejarah sebagai penganjuran terbesar SoundCircus Festival (SCF). Sebanyak 6 pentas bakal diwujudkan merentasi ruang indoor dan outdoor MAEPS. Antara barisan artis terkemuka yang bakal memanaskan pentas SCF termasuklah gandingan eksklusif Takhta Ratu Rock Nusantara: Cokelat x Ella, Jemput Dengar featuring Sheila Majid, Nadin Amizah, Disagree, The SIGIT, The Jansen, Johnny Pandora, serta sambutan istimewa 20 Tahun Hujan dan penghormatan 30 Years of Asian Hardcore.

 

Lebih melampau, buat julung kalinya di Asia, pengunjung boleh merasai pengalaman zip line Flying Fox yang meluncur di atas penonton konsert secara langsung di Pentas 16 SoundCircus!

Himpunan Legenda Global: Kehadiran Sulung Liberty Walk & Jentera Vintaj Kustom

AOS 2026 turut mencatat lipatan sejarah baharu apabila menerima kehadiran sulung syarikat talaan bertaraf legenda dari Jepun, Liberty Walk yang diketuai oleh Wataru Kato.

Selain itu, pengunjung bakal disajikan dengan pameran jentera kustom bertaraf mahakarya antarabangsa, antaranya:

  • 1945 Harley-Davidson Knucklehead dibawakan khas oleh Yokomizo Gaku (Hawgholic, Tokyo).
  • 1966 Harley-Davidson Shovelhead milik Yoshiki Okubo (Vise Clothing, Nagoya).
  • Kehadiran ikon MOONEYES (Emi Suganuma, NATQQ & Sohei Murakami) serta wakil kelab kustom dari Thailand, Taiwan, Filipina, Indonesia, Singapura, dan Brunei.

Bagi peminat seni pembinaan tempatan, pentas AOS Invitational Build-Off menyaksikan lapan bike builder elit tanah air (seperti Chaos Custom, Valley Machines, Sedarah MC, dan lain-lain) berentap bagi memenangi tiket membawa jentera mereka ke The 34th Yokohama Hot Rod Custom Show 2026 di Jepun.

Art of Speed 2026 Rayakan Edisi Ke-15: Sinergi Budaya Kustom Automotif dan Festival Muzik Berskala Mega

Dari kiri: Vera Tay, Pengurus Bersekutu Pemasaran Komersial Asia Tenggara, MATTEL; Pek Mun, Pengurus Bersekutu Produk Pengguna, MATTEL; Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival Art of Speed (AOS); dan Cik Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor.

 

Syurga Peminat Diecast: Hot Wheels R34 & Kehadiran Pereka Utama

Dewan C MAEPS bakal bertukar menjadi hub peminat diecast menerusi Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) Edisi Ke-4.

  • Model Eksklusif HWCCM 2026: Mempertaruhkan model kustom Nissan Skyline GT-R V·Spec II (BNR34) berlesen rasmi dengan pelekat tulen Motul & Yokohama dalam unit yang amat terhad.
  • Tetamu Khas: Kemunculan Ronald Wong, Ketua Pereka Produk Hot Wheels Premium dari Amerika Syarikat.
  • Pameran Kereta Sebenar: Kerjasama khas bersama Malaysia Skyline Owners Group (MSOG) yang membawakan deretan kereta Nissan Skyline GT-R sebenar di dalam dewan.
  • Koleksi Eksklusif Lain: Pelancaran diecast Kyosho x MOONEYES, Tarmac Works x RWB, dan Mini GT x Liberty Walk.

Kembara Passport: Cabut Undi Menangi Honda HR-V, Motor Kustom & Vespa!

Pengunjung yang melengkapkan aktiviti Kembara Passport dengan mengumpul 24 cap di reruai rakan penaja berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM80,000.

Dua pemenang utama bertuah bakal membawa pulang sebuah kereta Honda HR-V (diubah suai khas oleh Qartel TV) dan sebuah motosikal kustom daripada Thunder Motorcycles! Di samping itu, sebuah Vespa S 125 turut menanti pemenang bertuah.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Encik Asep Ahmad Iskandar, meluahkan rasa syukur atas sokongan padu komuniti sepanjang 15 tahun penganjuran.

“Edisi tahun ini melambangkan realisasi kepada sebuah impian yang lama dipendam — memayungi sebuah festival bertaraf dunia yang menyatukan kelestarian gaya hidup automotif dan kemuncak festival muzik langsung secara harmoni.

“Kami amat teruja untuk mengumumkan kehadiran sulung firma lagenda Liberty Walk di pentas AOS — sebuah lakaran sejarah baharu buat landskap Kustom Kulture di rantau ini,” kata Asep Ahmad Iskandar.

 

Maklumat Tiket & Waktu Acara:

  • Tiket Pas Hujung Minggu AOS (Early Bird): RM35.00 (door price RM40.00).
  • Tiket SoundCircus Festival (SCF): RM149.00 (GA 2-Hari), RM199.00 (Rockzone), atau RM89.00 (Pas 1-Hari).
  • Kemasukan PERCUMA: Kanak-kanak bawah 12 tahun dan pemegang Kad OKU.
  • Waktu Operasi Pameran: 10:00 pagi – 7:00 malam (SoundCircus: 3:00 petang – 12:00 tengah malam).

Pembelian tiket dan maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi di laman sesawang www.artofspeedmy.com.

Loading...