“Jwanjih Kenyang!”: Barisan Selebriti Popular Warnai Skrin Ramadan & Raya 2026 TV3
- oleh Editor MYBUZZ
- 18 Feb 2026 2:05 pm
KUALA LUMPUR – Ketibaan bulan Ramadan dan Syawal tahun ini dijamin tidak akan sunyi apabila TV3 kembali menyajikan deretan kandungan eksklusif yang padat dengan kemunculan barisan selebriti popular tanah air. Menerusi acara pratinjau khas yang diberi nama RR2026: Jwanjih “Kenyang!”, TV3 menjanjikan pengisian menyeluruh bermula daripada program masakan dan gaya hidup, sehinggalah ke bual bicara, keagamaan, serta hiburan bagi mengiringi rutin harian penonton di sepanjang musim keberkatan ini.
Pengisian ini bukan sahaja direka untuk memenuhi waktu berbuka dan sahur, malah ia turut berkembang merentas siaran televisyen serta platform digital selari dengan evolusi tabiat tontonan masa kini.
Bagi merancakkan bulan puasa, TV3 membawa elemen kebersamaan keluarga secara terus ke skrin tontonan anda menerusi pelbagai program yang dekat di hati. Peminat berpeluang menyaksikan ragam keluarga aktres jelita, Elfira Loy, menerusi program Oh Mummy!, manakala ikon fesyen Rozita Che Wan pula akan berganding bahu bersama anak daranya, Aaisyah, menerusi rancangan Anak Mama Masak Apa Tu?.
Bagi menemani waktu berbuka, program Jom Berbuka bakal mencuri tumpuan dengan menampilkan nama-nama besar seperti Angah dan isteri, Dato’ Fazley dan anak, Nabila Huda dan anak, Cat Farish dan isteri, serta Fiza Frizzy bersama suami dalam momen yang cukup santai dan autentik. Dalam pada itu, pengacara sensasi Ain Edruce dan suaminya, Amirul Hafiz, akan berkongsi dinamik hubungan mereka yang pastinya dekat dengan realiti penonton menerusi program Resipi Serasi.
Bukan sekadar mendominasi siaran televisyen, susunan program kali ini turut memperkukuh penawaran digital dengan tayangan drama mikro dalam format ringkas yang sangat sesuai ditonton di sela kesibukan harian. Antara naskhah yang bakal disajikan termasuklah Mr. Perfect Ramadan lakonan Muaz Zabir dan Ariana Yusof, serta naskhah Bisik Asmara Kita yang mempertaruhkan gandingan mantap Zul Ariffin dan Sophia Albarakbah.
Beralih ke waktu sahur pula, suasana akan menjadi lebih reflektif menerusi Sembang Sahur 2026 yang sedia menemani penonton dalam nada santai tetapi cukup berinformasi. Program ini menampilkan barisan hos versatil yang terdiri daripada Elly Mazlein, Dayah Bakar, Muaz Mohamed, dan Fadzly Fuad untuk mengupas pelbagai isu semasa serta topik kerohanian.

Apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri, kemeriahan hiburan terus diperkasa dengan naskhah yang menghimpunkan deretan selebriti tempatan hebat. Penonton boleh bersiap sedia untuk bergelak tawa menerusi telemovie komedi di slot Aidilfitri iaitu Kampong Gatal (KGG) lakonan Riena Diana, Syarul Ezani, Nabila Razali, Nik Rifaei’, dan Amirullah Azmi yang memaparkan kisah berlatarbelakangkan humor komuniti kampung.

Bagi melihat perspektif generasi masa kini menyambut lebaran mengikut gaya tersendiri, program Raya Macam Influencer bersama Arena Wan dan Athalia pastinya tidak boleh dilepaskan. Pencinta dunia glamor pula bakal disajikan dengan program Melodi Glam Raya Runway dan Melodi Raya 2026 yang dikemudi oleh Fikry Ibrahim dan Ain Edruce, menyatukan elemen fesyen, momen eksklusif dan hiburan untuk meraikan Syawal dengan penuh bergaya.
Secara keseluruhannya, rangkaian program komprehensif ini mencerminkan komitmen jitu TV3 dalam menyajikan pengalaman Ramadan dan Syawal yang meluas buat para penonton, menjadikan gabungan platform televisyen dan digital sebagai destinasi pilihan utama. Pastikan peranti digital anda bersedia untuk distrim atau kaca TV sentiasa terpasang agar setiap detik bermakna dapat diraikan bersama TV3!



