Flashmob Zapin & 100 Kurta Percuma: Keris & Co Angkat Tradisi Dalam Gaya Kontemporari
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 Mar 2026 10:31 am
KUALA LUMPUR – Gabungan seni silat dan tarian zapin yang dipersembahkan secara flashmob di perkarangan Pavilion Bukit Bintang baru-baru ini mencuri perhatian ramai, sekali gus memperkenalkan jenama pakaian lokal, Keris & Co, kepada khalayak yang lebih luas.
Persembahan spontan itu bukan sahaja menghiburkan pengunjung tempatan dan pelancong asing, malah menjadi strategi kreatif jenama berkenaan dalam menampilkan identiti yang mengangkat elemen tradisional dalam sentuhan moden. Dalam suasana pusat beli-belah yang sinonim dengan gaya urban, irama zapin dan gerak silat tampil sebagai simbol warisan Melayu yang masih relevan merentas zaman.
Pengasas Keris & Co, Hanzat Azmi, 31, berkata pendekatan flashmob dipilih bagi mendekatkan jenama dengan masyarakat dalam suasana santai dan segar.
“Kami memilih silat dan zapin kerana ia cukup sinonim dengan budaya Melayu. Apabila digabungkan dengan persekitaran moden seperti Pavilion, ia mewujudkan suasana unik dan menarik perhatian ramai,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya merancang untuk menganjurkan acara flashmob yang lebih besar di lokasi berbeza pada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada strategi penjenamaan berterusan.
Tidak terhenti setakat persembahan, Keris & Co turut mengedarkan 100 helai baju kurta secara percuma sempena Ramadan sebagai inisiatif memperkenalkan kualiti produk mereka kepada orang ramai.
Hanzat menjelaskan, pemberian tersebut bertujuan memberi peluang kepada masyarakat merasai sendiri keselesaan dan mutu pakaian yang ditawarkan sejak jenama itu ditubuhkan pada 2024.
Menariknya, kurta yang diagihkan boleh digayakan oleh lelaki dan wanita. Bagi wanita, ia boleh dipadankan dengan kain untuk tampil seperti baju kurung Kedah, sekali gus menonjolkan fleksibiliti rekaan. Sambutan daripada pelancong asing juga memberangsangkan, membuka ruang untuk memperkenalkan budaya pemakaian tradisional Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Walaupun masih baharu dalam industri fesyen tempatan, Keris & Co tampil dengan visi jelas untuk mengangkat baju Melayu sebagai pakaian versatil yang tidak hanya terhad kepada musim perayaan.
Koleksi baju Melayu mereka menggunakan fabrik “Japanese Cotton” yang premium, selesa dan sesuai dengan iklim Malaysia. Fabrik tersebut dikatakan tidak mudah berbulu serta tahan lama, namun tetap ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM39 hingga RM129.
Setakat ini, jenama berkenaan menawarkan lebih 40 pilihan warna merangkumi lebih 18 koleksi. Jualan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian menerusi platform seperti TikTok, Shopee dan laman web rasmi mereka.
Dalam perancangan jangka panjang, Keris & Co berhasrat membuka outlet fizikal bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat kepada pelanggan. Selain pasaran tempatan, jenama ini turut menembusi Singapura dan Brunei, serta merancang memperkenalkan koleksi pakaian wanita bagi meluaskan segmen pasaran pada masa akan datang.
Dengan pendekatan kreatif dan komitmen terhadap kualiti, Keris & Co dilihat berpotensi menjadi antara jenama lokal yang mampu mengangkat warisan budaya ke arus perdana fesyen moden.






