Ikuti Kami:

Finalis Gegar Vaganza, Mell Sakura Santuni Peminat Dalam Majlis Berbuka Puasa

Finalis Gegar Vaganza, Mell Sakura Santuni Peminat Dalam Majlis Berbuka Puasa

Kuala Lumpur – Kehangatan Ramadan tahun ini diserikan dengan penganjuran program berbuka puasa istimewa melibatkan finalis Gegar Vaganza musim ke 12, Mell Sakura, bersama para peminat setianya dalam satu majlis penuh kemesraan baru-baru ini.

Sebagai antara peserta yang mencuri perhatian sepanjang musim pertandingan Gegar Vaganza musim ke 12, Mell Sakura yang berasal daripada Kumpulan Sakura Band ini dilihat semakin dekat di hati peminat. Justeru, program berbuka puasa ini menjadi simbol penghargaan beliau terhadap sokongan luar biasa yang diterima sepanjang berada di pentas berprestij tersebut.

Majlis yang berlangsung dalam suasana santai itu menghimpunkan peminat dari pelbagai negeri. Seawal petang, tetamu mula memenuhi ruang acara dengan keterujaan untuk bertemu penyanyi yang dikenali dengan vokal merdu dan persembahan penuh emosi itu.

Menurut Mell Sakura, pengalaman sebagai finalis Gegar Vaganza banyak mengubah perjalanan kerjayanya, selain membuka peluang untuk lebih menghargai sokongan peminat.

“Tanpa peminat, mungkin saya tidak sampai ke tahap ini. Gegar Vaganza memberi platform, tetapi doa dan undian peminatlah yang membawa saya ke final. Sebab itu saya mahu raikan mereka dalam bulan yang penuh keberkatan ini,” ujarnya.

Selain menikmati hidangan berbuka, majlis turut diisi dengan sesi perkongsian pengalaman sepanjang bertanding, acara karaoke bersama peminat serta sesi bergambar. Sorakan gemuruh jelas kedengaran apabila Mell Sakura mendendangkan secara santai single lagu raya pertama beliau berjudul ‘Raya Di Kampung’.

Tidak ketinggalan, beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan dan cenderamata sebagai tanda ingatan buat peminat yang hadir. Rata-rata yang ditemui menyifatkan majlis tersebut sebagai detik istimewa kerana dapat berinteraksi lebih dekat dengan Mell.

Program berbuka puasa ini sekali gus membuktikan bahawa kejayaan di pentas realiti bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi tentang membina hubungan tulus antara artis dan penyokong setia. Mell Sakura menggunakan populariti yang diraih untuk mengukuhkan lagi ikatan silaturahim dalam semangat Ramadan.

Loading...