Rozita Rohaizad Meriahkan Syawal 2026 Dengan Dua Lagu Raya Baharu Penuh Nostalgia & Ceria
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 Mar 2026 12:47 pm
KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, penyanyi dan komposer serba boleh, Rozita Rohaizad kembali memeriahkan industri seni dengan melancarkan dua buah lagu raya terbaharu. Meneruskan momentum cemerlangnya saban tahun, buah tangan terbaharu ini bukan sahaja padat dengan emosi dan keceriaan, malah sarat dengan nilai kekeluargaan yang pastinya menyentuh hati pendengar.
Selepas mencatat kejayaan menerusi tiga buah lagu raya kolaborasi pada tahun lalu, kali ini beliau mempertaruhkan dua karya terbaru yang mempunyai karakter berbeza iaitu ‘Rindu Aidilfitri’ dan ‘Gelak Tawa Raya’.
Tampil dengan kelainan, lagu solo bertajuk ‘Rindu Aidilfitri’ membawa nafas rancak menerusi suntikan rentak cha-cha yang diinspirasikan daripada irama pop Latin yang segar. Lagu yang digubah bersama Fauzi Aisunam ini merakamkan keindahan nostalgia klasik hari raya, daripada keenakan juadah tradisi seperti ketupat dan lemang sehinggalah kepada momen kunjung-mengunjung.
Karya yang turut menerapkan mesej kesyukuran dan keinsafan ini telah dimuatkan di dalam album kompilasi ‘Rindu Aidilfitri 2026’ yang membariskan 21 buah lagu raya pelbagai genre dan artis. Album ini diterbit dan diedarkan oleh FGI Entertainment. Apa yang menarik keseluruhan lagu dalam album ini dimuatkan kedalam bentuk kad pemacu pena (Pen Drive) dan dijual pada harga RM40.
Bagi mengimbangi sentuhan moden tersebut, lagu ‘Gelak Tawa Raya’ terbitan Saja Production pula lebih memfokuskan kepada elemen sentimental dan emosi yang mendalam.
Melodi ciptaan Arwanz berserta lirik puitis nukilan Nadia Fharshah ini menggabungkan vokal berkumpulan, termasuk lontaran suara Rozita sendiri, bagi menterjemahkan suasana harmoni dan kemeriahan keluarga besar berkumpul pada pagi Syawal. Di sebalik usikan dan melodi cerianya, pendengar akan turut dibuai rasa syahdu terkenangkan insan tersayang yang telah tiada.
Sebagai figura yang sering menyemarakkan musim perayaan tempatan, Rozita Rohaizad membuktikan konsistensinya apabila telah berjaya menghasilkan lapan buah lagu raya merangkumi pelbagai genre sejak dari tahun 2012.
Menurut beliau, penghasilan lagu yang bernuansa ceria memang menjadi keutamaannya setiap kali tibanya musim perayaan. Harapannya cuma satu, agar kedua-dua naskhah terbaharu ini berjaya menghiburkan orang ramai sekali gus menjadi runut bunyi yang indah sepanjang kemeriahan bulan Syawal 2026 ini. Muzik video kedua-dua buah lagu ini kini boleh ditonton di platform penstriman Youtube
