Gema Syahdu Farhana Ali Dalam ‘Ramadan Is Here’ Suntik Ketenangan Jiwa
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 Mar 2026 2:33 pm
LONDON – Penyanyi dan penulis lagu dari Britain, Farhana Ali, menyemarakkan ketibaan bulan puasa dengan melancarkan single terbaharu berjudul “Ramadan Is Here” pada 15 Februari 2026. Karya yang sarat dengan mesej mendalam ini dihasilkan sebagai satu prelud muzik untuk mengajak para pendengar merenung kebesaran Ilahi, berdoa, serta memperbaharui hubungan kerohanian dengan Allah.
Beliau yang bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music ini melakar sejarah tersendiri apabila menjadi vokalis wanita Muslim solo pertama di United Kingdom yang berjaya melahirkan album.

Menerusi naskhah terbaharu ini, Farhana Ali mengetengahkan keindahan 99 nama Allah, yang mana ia menjadi pendorong agar pendengar terus mendekatkan diri kepada Pencipta sepanjang bulan suci ini. Lagu ini bukan sekadar hiburan, malah berfungsi sebagai peringatan lembut yang menjemput pendengar untuk terus berharap dan memanjatkan doa dengan tulus ikhlas.
Antara bait lirik yang cukup menyentuh emosi dalam lagu ini ialah, “Ask by His names, all 99 this Ramadan, Allah Al Qudoos, He will be waiting for you”.
Lebih istimewa, single ini turut dilancarkan bersama sebuah video muzik memukau yang telah menjalani penggambaran di London Islamic Cultural Society and Mosque (LICS). Paparan visualnya berjaya merakamkan momen intim ketika beribadah dan bermuhasabah, sekali gus menterjemahkan hubungan peribadi antara hamba dan Tuhan.

Selain elemen kerohanian, video tersebut turut menyelitkan kemesraan suasana Ramadan di rumah seperti persiapan menyambut bulan puasa, detik berbuka bersama keluarga, dan keterujaan membungkus hadiah menjelang Hari Raya.
Kesemua visual ini meraikan keseimbangan di antara kehidupan rohani dalaman dan kehangatan tradisi kekeluargaan.Berkongsi keterujaannya, artis yang terkenal dengan vokal merdu dan lagu-lagu berinspirasikan ketuhanan ini berharap “Ramadan Is Here” mampu mencetuskan refleksi, keimanan, serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Farhana Ali, karya ini merupakan pendekatan muziknya dalam mempersiapkan hati dan kediaman bagi mengalu-alukan ketibaan bulan yang mulia ini. Bagi peminat yang ingin menghayati keindahan naskhah ini, “Ramadan Is Here” kini sudah boleh didengari di kesemua platform penstriman utama.
