Ikuti Kami:

Derita Bapa Tersisih: ‘Luka Dalam Rindu’ Bakal Renggut Emosi Penonton TV AlHijrah

Derita Bapa Tersisih: ‘Luka Dalam Rindu’ Bakal Renggut Emosi Penonton TV AlHijrah

KUALA LUMPUR – Stesen TV AlHijrah kembali mempertaruhkan sebuah naskhah meruntun jiwa berjudul Luka Dalam Rindu yang mula menemui penonton setiap hari Sabtu dan Ahad pada jam 6 petang.

Drama bersiri lapan episod terbitan Mache All Star United Sdn Bhd ini merupakan arahan pengarah Pali Yahya dengan garapan skrip oleh K. Adlie. Ia menjanjikan sebuah kisah kekeluargaan yang sarat dengan emosi, memfokuskan kepada pengorbanan agung seorang bapa, dendam kesumat anak kandung, serta nilai kemaafan yang hadir terlalu lambat.

Derita Bapa Tersisih: 'Luka Dalam Rindu' Bakal Renggut Emosi Penonton TV AlHijrah

Diterajui oleh pelakon veteran berbakat, Harun Hashim yang memegang watak sebagai Zamarul, siri ini menelusuri cabarannya sebagai bapa tunggal yang mendidik anaknya, Suci, dengan penuh ketegasan selepas kematian isterinya.

Namun, ketegasan itu disalah erti sebagai satu bentuk kongkongan oleh Suci (lakonan Hanna Faresha), yang akhirnya memilih jalan memberontak dan mengahwini Hisyam (Aqasha) tanpa restu sepenuhnya daripada si bapa.

Derita Bapa Tersisih: Luka Dalam Rindu Bakal Renggut Emosi Penonton TV AlHijrah

Retak yang menanti belah dalam hubungan anak-beranak ini bertukar menjadi tragedi apabila sikap Hisyam yang tidak bertanggungjawab mencetuskan kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa anak mereka sendiri, Hakim.

Lebih memilukan, Zamarul bukan sahaja dipersalahkan atas insiden malang tersebut malah dijatuhi hukuman penjara, membuatkan Suci menanam kebencian yang mendalam dan membuang bapanya daripada hidupnya.

Derita Bapa Tersisih: Luka Dalam Rindu Bakal Renggut Emosi Penonton TV AlHijrah

Di sebalik tirai besi, plot penceritaan mula berkembang apabila Zamarul bertemu dan membimbing seorang banduan muda bernama Mail, yang rupa-rupanya merupakan anak kandungnya daripada perkahwinan pertama yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini. Usai menjalani hukuman, kepulangan Zamarul yang hanya mengharapkan kemaafan daripada Suci terus ditolak mentah-mentah.

Kemuncak emosi karya ini pastinya tertumpu kepada pengorbanan Zamarul yang sanggup menggadaikan kesihatan sendiri dengan menderma buah pinggang kepada Hisyam demi melihat Suci bahagia.

Derita Bapa Tersisih: Luka Dalam Rindu Bakal Renggut Emosi Penonton TV AlHijrah

Walaupun kebenaran akhirnya terbongkar bahawa Hisyamlah punca sebenar kematian Hakim, segalanya sudah terlambat kerana Zamarul terlebih dahulu menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat mendengar kata maaf daripada anak yang amat dirinduinya itu.

Bagi yang ingin menyaksikan sendiri ketabahan kasih sayang seorang bapa yang tidak pernah mati ini, jangan lepaskan peluang menonton Luka Dalam Rindu setiap hujung minggu di TV AlHijrah.

Loading...