Trauma Soalan ‘Bila Nak Kahwin?’: Iklan Raya ‘Bila’ Arahan Nadhir Nasar Sedia Cuit Hati Penonton
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Mar 2026 1:12 pm
PETALING JAYA – Menjelang ketibaan bulan Syawal yang mulia, Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd telah melancarkan iklan Raya terbaharu mereka yang berjudul “Bila”. Majlis pelancaran meriah yang turut disusuli dengan sesi berbuka puasa bersama rakan media ini telah berlangsung di The Camelot, Royal Chulan Damansara pada 4 Mac 2026.
Mendapat sokongan tajaan rasmi daripada jenama Milo, naskhah ini mendapat sentuhan magis pengarahan daripada Nadhir Nasar yang membawakan penceritaan ringan namun cukup dekat dengan realiti dan emosi masyarakat kita.
Iklan “Bila” mengangkat kisah Siti, seorang wanita bekerjaya berusia 30 tahun yang melihat sambutan hari raya sebagai satu fasa yang penuh dengan tekanan. Punca utamanya sudah pasti soalan panas “Bila nak kahwin??” yang wajib dihadapinya setiap kali melangkah pulang ke kampung halaman.
Demi melepaskan diri daripada desakan keluarganya, Siti mengambil keputusan berani dengan mengupah ‘teman lelaki palsu’ pada setiap tahun. Walau bagaimanapun, perancangan Siti sedikit goyah pada kali ini apabila pelakon sambilan yang diupahnya, Alif, secara tidak sengaja berjaya mencuri hati seluruh ahli keluarganya.
Karya komedi romantik ini dibarisi pelakon popular masa kini seperti Yusuf Bahrin, Erysha Emyra, Ezzanie Jasny, Areef Amran, Auni Yusri, Syad Mutalib, dan turut diserikan dengan penampilan istimewa penyanyi bersuara emas, Liza Hanim.

Menerusi kerusi pengarah, Nadhir Nasar berjaya mengadunkan elemen komedi, emosi, dan kehangatan institusi kekeluargaan dengan cukup seimbang tanpa elemen yang berlebih-lebihan. Beliau turut meluahkan rasa bangga kerana berpeluang untuk terus melangkah dan mencipta karya bersama rakan-rakan seperjuangan di bawah bumbung pengurusan LOL.
Menurut wakil produksi, kisah ini sengaja disampaikan dengan pendekatan yang santai dan jujur kerana di sebalik soalan “bila” yang kedengaran biasa itu, tersembunyi tekanan dan kerinduan yang jarang diluahkan.
Iklan ini secara tidak langsung mengajak penonton untuk kembali menghargai kejujuran dan makna sebenar ikatan keluarga.Bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan kisah Siti dan Alif, jangan lupa tetapkan peringatan di kalendar anda! Iklan Raya “Bila” bakal menemui penonton secara rasmi menerusi saluran YouTube Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd pada hari Sabtu, 7 Mac 2026, bermula jam 8.00 malam.
