Ikuti Kami:

“Baju Tak Muat, Kuih Tak Jadi!” Trio Kimbab Pecah Perut Bawa Realiti Pagi Syawal Dalam Single ‘Drama Raya’

“Baju Tak Muat, Kuih Tak Jadi!” Trio Kimbab Pecah Perut Bawa Realiti Pagi Syawal Dalam Single ‘Drama Raya’

KUALA LUMPUR – Trio lawak popular tanah air, Kimbab, yang membariskan Zulin Aziz, Nasz Sally, dan Maryam DurianKimchi kini kembali memeriahkan suasana Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul “Drama Raya”.

Membawa konsep yang segar dan amat menghiburkan, lagu berentak santai ini diinspirasikan daripada pelbagai situasi lucu, hiruk-pikuk, serta ‘drama’ kisah benar yang sering dilalui masyarakat pada pagi Syawal.

"Baju Tak Muat, Kuih Tak Jadi!" Trio Kimbab Pecah Perut Bawa Realiti Pagi Syawal Dalam Single Drama Raya

Menurut Zulin Aziz yang memikul tanggungjawab sebagai pencipta lagu dan penulis lirik, naskhah “Drama Raya” ini tercetus daripada pengalaman harian yang sangat dekat dengan realiti sambutan raya masa kini.

“Lagu Drama Raya ini terinspirasi daripada apa yang selalu sangat kita semua hadap especially pagi raya,” jelas Zulin, yang memberikan contoh situasi cemas saban tahun seperti kejadian kuih raya tidak menjadi hinggalah dilema baju raya yang tiba-tiba tidak muat.

Tambahnya lagi, karya ini turut menyelitkan unsur perbezaan generasi antara golongan milenial dan Gen-Z secara santai, sekali gus mencerminkan evolusi sambutan Aidilfitri mengikut peredaran zaman tanpa meminggirkan nilai tradisi.

Paling mencuri tumpuan dalam karya berkonsepkan easy listening dengan melodi yang catchy ini semestinya elemen kejutan daripada Maryam DurianKimchi yang galak melontarkan bait-bait rap dalam Bahasa Melayu.

"Baju Tak Muat, Kuih Tak Jadi!" Trio Kimbab Pecah Perut Bawa Realiti Pagi Syawal Dalam Single Drama Raya

Zulin mendedahkan bahawa walaupun penguasaan Bahasa Melayu selebriti asal Korea Selatan itu sudah sangat baik, sebutan gaya rap merupakan satu cabaran yang menuntutnya untuk gigih menghafal dan berlatih berkali-kali.

Namun, berkat komitmen tinggi Maryam yang disifatkan sangat “power” serta sikap saling membantu antara mereka, proses rakaman berjaya diselesaikan dengan mudah.Keserasian luar biasa ketiga-tiga figura ini yang diibaratkan seperti “isi dengan kuku” sebenarnya sudah terjalin erat dan terus kukuh sejak mereka mula bergandingan dalam program realiti Muzikal Lawak Superstar.

Zulin amat berharap buah tangan terbaharu ini mampu menjadi pengubat rindu buat kelab peminat setia mereka, Kimbabers. Berbekalkan gabungan humor, realiti kehidupan, dan rentak moden, “Drama Raya” dijangka menjadi pilihan wajib untuk menceriakan Aidilfitri tahun ini.

Malah, Zulin berseloroh bahawa sekiranya lagu ini mendapat sambutan hangat, mereka tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan karya kesinambungan pada tahun hadapan. Lebih mengujakan, “Drama Raya” turut diangkat sebagai lagu tema rasmi untuk telefilem lakonan Kimbab berjudul Andartu Cancel Raya yang bakal menemui penonton di Astro kelak.

Loading...