Bongkar Sindiket Kerja Palsu, ‘Tiket Sehala’ Papar Sisi Gelap Rakyat Malaysia Terperangkap Di Korea Selatan
- oleh Editor MYBUZZ
- 3 Mar 2026 1:17 pm
SERI KEMBANGAN – Syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. mengambil kesempatan meraikan bulan Ramadan kali ini dengan melancarkan filem terbaharu mereka yang berjudul ‘Tiket Sehala’ dalam satu majlis berbuka puasa yang berlansung semalam.
Filem yang mendapat sentuhan pengarah Rahila Ali ini berani mengangkat sebuah isu global yang semakin membimbangkan, iaitu nasib malang mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
Diinspirasikan daripada kejadian sebenar, jalan cerita Tiket Sehala membawa penonton menyelami sisi gelap kehidupan watak Alif, Putri, dan Taqy yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang cukup kejam di Korea Selatan akibat keterdesakan hidup.

Pengasas Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap, menjelaskan bahawa filem ini dihasilkan atas rasa tanggungjawab untuk memaparkan kesan buruk kepada mangsa yang terjebak. Beliau berharap kisah yang jarang diangkat ke layar perak ini mampu menyuntik kesedaran kepada masyarakat agar lebih berwaspada sebelum menerima tawaran pekerjaan di negara asing.
Bagi menghidupkan naskhah yang padat dengan mesej ini, produksi mempertaruhkan barisan pelakon popular tanah air seperti Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh, dan Shaharudin Jamaludin.

Lebih mengagumkan, filem ini melangkaui sempadan dengan menggabungkan pelakon dari empat buah negara, termasuk penampilan Hyunjun Sun dari Korea Selatan, Ninja dari kumpulan SuperThai di Thailand, serta Naufal Samudra dari Indonesia.
Penggambaran yang dilakukan di Korea Selatan itu turut menyaksikan kolaborasi antara kru produksi tempatan dan negara berkenaan, sebuah langkah strategik untuk saling bertukar kepakaran demi meningkatkan kualiti perfileman tempatan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan sama, Key Billions turut membuktikan keseriusan mereka untuk membangunkan industri perfileman dengan menubuhkan cabang perniagaan baharu, Key Billions Distribution. Jika sebelum ini filem terbitan mereka iaitu Soloz: Game Of Life diserahkan kepada pihak lain, urusan pengedaran dan promosi Tiket Sehala akan dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat pengedaran mereka sendiri.
Eddie Yap menambah, syarikat itu juga membuka ruang untuk mengedarkan filem terbitan pihak lain dan kini telah memiliki hak pengedaran untuk menayangkan filem Gayong 2 dan Tarung Unforgiven tidak lama lagi.
Acara pelancaran yang meriah itu juga telah diserikan dengan satu persembahan robot istimewa di bawah kelolaan Shadow Combat League, sebuah platform inovatif yang menggabungkan konsep sukan tempur tradisional dengan teknologi dan permainan.
