Ikuti Kami:

Ahmad Badri Dilantik Pengerusi Baharu FELDA, Sedia Pacu Agenda 3 Juta Warga Peneroka

Ahmad Badri Dilantik Pengerusi Baharu FELDA, Sedia Pacu Agenda 3 Juta Warga Peneroka

KUALA LUMPUR– Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) secara rasmi mengumumkan pelantikan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Badri bin Mohd Zahir sebagai Pengerusi FELDA yang baharu.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, pelantikan beliau mencerminkan keyakinan penuh Kerajaan terhadap kewibawaan, integriti, serta pengalaman luas tokoh korporat ini untuk menerajui organisasi strategik negara. Kepimpinan beliau diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan pengurusan, dan meneruskan agenda transformasi FELDA selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Badri merupakan seorang figura yang tidak asing lagi dalam sektor awam dan korporat dengan pengalaman melebihi tiga dekad. Beliau memulakan langkah dalam perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada tahun 1989 dan pernah menyandang pelbagai jawatan strategik, termasuk berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia dari tahun 2018 hingga 2020.

Sebelum pelantikan ini, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta menduduki Ahli Lembaga Pengarah di beberapa institusi utama negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pada masa kini, beliau turut memegang jawatan selaku Pengerusi RHB Bank Berhad, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), dan Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad. Dari aspek akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dengan pelantikan baharu ini, FELDA menzahirkan keyakinan tinggi bahawa di bawah teraju Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Badri, Kumpulan FELDA akan terus memperkukuh agenda transformasi, meningkatkan kemampanan ekonomi, serta mencipta nilai yang lebih besar kepada lebih 3 juta warga peneroka di seluruh negara. Kepimpinan beliau diharapkan dapat melakar pencapaian baharu demi kelangsungan kesejahteraan warga peneroka dan kemakmuran generasi masa depan.

Dalam pada itu, peralihan kepimpinan ini turut disusuli dengan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih daripada Ahli Lembaga, Pengurusan Tertinggi, Kumpulan, serta seluruh warga FELDA kepada mantan Pengerusi, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek. Seluruh warga FELDA menzahirkan rasa terhutang budi atas segala jasa, bakti, komitmen, dan pandangan strategik yang telah dicurahkan beliau sepanjang menerajui agensi berkenaan. Sumbangan beliau disifatkan sebagai sebahagian daripada legasi penting yang memperkukuh organisasi serta membawa aspirasi warga peneroka ke arah masa hadapan yang lebih gemilang. Warga FELDA turut mendoakan agar beliau terus dikurniakan kesihatan, keberkatan, dan kejayaan dalam setiap langkah dan perancangan mendatang.

Loading...