Ikuti Kami:

Rock Bertemu Simfoni! Rockestra 5.0 Janji Konsert Epik Tiga Jam Tanpa Henti Di Panggung Anniversari

Rock Bertemu Simfoni! Rockestra 5.0 Janji Konsert Epik Tiga Jam Tanpa Henti Di Panggung Anniversari

KUALA LUMPUR: Peminat tegar muzik rock tempatan bakal disajikan dengan sebuah persembahan mega apabila irama rock jalanan bersatu dengan kemegahan muzik simfoni menerusi konsert Rockestra 5.0 yang akan menggegarkan pentas ikonik Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana pada 18 Julai ini.

Konsert berskala besar anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini merupakan antara pengisian utama bagi program Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026 yang bertujuan menghidupkan semula lokasi bersejarah tersebut sebagai wadah seni terbuka di tengah-tengah ibu kota.

Menjanjikan dimensi baharu yang lebih epik dan dramatik, konsert Rockestra 5.0 yang dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu bermula jam 8.30 malam itu bakal menggandangkan lebih 60 pemuzik daripada Orkestra Kuala Lumpur bersama barisan jaguh rock negara. Menariknya, susunan muzik bertaraf orkestra itu digubah khusus tanpa menenggelamkan atau menghilangkan identiti asal muzik rock tanah air.

Rock Bertemu Simfoni! Rockestra 5.0 Janji Konsert Epik Tiga Jam Tanpa Henti Di Panggung Anniversari

Konsert berdurasi hampir tiga jam ini menampilkan barisan penyanyi dan pemuzik ternama termasuk Muzza, Pasha, Pat Candy, Lan Solo, CDNaz, King Shah (Metalasia), dan Ca-ah, manakala personaliti terkenal Isma Halil Hamzah bertindak selaku pengacara sepanjang malam. Lebih mengujakan, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menyaksikan konsert epik ini kerana masuk adalah percuma.

Selain konsert Rockestra 5.0, orang ramai juga berpeluang memeriahkan Festival Rock yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 17 hingga 19 Julai 2026 di lokasi yang sama. Festival ini padat dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti pameran komuniti, jualan cenderamata eksklusif, forum, serta sesi bual bicara yang merungkai sejarah dan evolusi muzik rock Malaysia.

Bagi peminat tegar yang ingin melihat lebih dekat proses di sebalik tabir penganjuran, pihak penganjur turut membuka ruang kepada orang ramai untuk menyaksikan sesi latihan bunyi (soundcheck) artis sebelum malam konsert bermula.

Sebagai sebuah pentas yang mempunyai nilai sejarah yang cukup signifikan dalam melahirkan ramai artis dan kumpulan legenda tanah air, DBKL komited untuk memperkasakan semula legasi Panggung Anniversari dengan pendekatan yang lebih segar dan inklusif buat generasi masa kini. Orang ramai dinasihatkan untuk hadir awal bagi memeriahkan festival ini dan merasai sendiri aura kebangkitan muzik rock dalam nuansa simfoni yang penuh magis.

Loading...