KUALA LUMPUR – Dalam satu perhimpunan unik yang menggabungkan dua komuniti berbeza, acara “Dua Dunia, Satu Suara” telah berlangsung meriah di Live Fact KL, Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu. Gabungan istimewa antara komuniti seni dakwah dan muzik underground menerusi kolaborasi GIG-HARD dan Palestin Bangkit ini diadakan sempena memperingati genap tiga tahun konflik sejak 7 Oktober 2023.
Berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 11.00 malam, acara ini membawa mesej yang jelas bahawa Palestin adalah sebuah perjuangan pembebasan yang menuntut kemerdekaan, dan bukannya sekadar tragedi kemanusiaan yang mengharapkan simpati semata-mata.
Pelakon dan pelawak versatil, Saiful Apek, yang hadir sebagai Duta bagi Komuniti Dakwah dan Tarbiah (KDT), berkongsi pandangan mengenai penglibatannya dalam acara berteraskan solidariti ini. Menurut beliau, memperjuangkan isu Palestin telah menjadi sebahagian daripada komitmen peribadinya sejak dahulu lagi, bahkan sebelum beliau mula aktif bersama KDT.

Beliau menjelaskan bahawa penyertaannya dalam acara gig bersama komuniti alternatif dan underground ini merupakan inisiatif sulung KDT bagi memperluaskan julat jangkauan (reach out) kepada kelompok yang lebih muda.
“Scope utama memang memperjuangkan Palestin… Ini attempt yang pertama KDT terlibat dengan gig sebab kita nak reach out target yang lain pula, mungkin orang-orang yang muda,” jelas Saiful Apek.
Tambahnya lagi, kerjasama berasaskan kontrak tahunan ini telah memasuki tahun kedua, di mana beliau komited untuk terus konsisten menggunakan pengaruhnya bagi meningkatkan kesedaran awam dan menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk menyertai kempen solidariti ini.
Acara ini menampilkan format unik yang menyusun segmen “putih” (seni dakwah) dan “hitam” (muzik alternatif) secara berselang-seli bagi memastikan para pengunjung daripada kedua-dua latar belakang terus menghayati pengisian program.
Barisan persembahan hari ini dimeriahkan dengan penampilan khas Saiful Apek sendiri, kumpulan nasyid Fetya, serta persembahan bertenaga daripada pelbagai band rock dan akustik seperti Late Night Frequency, Maddame, Color Heart, As Our Throne, Tebabo!, dan Jemson sebagai penutup.
Selain itu, segmen teater, monolog, serta perkongsian puisi turut diselitkan bagi memperkukuhkan mesej perjuangan rakyat Palestin.
Menurut penganjur, isu Palestin tidak wajar dikecilkan hanya kepada sumbangan bantuan makanan, ubat-ubatan, dan derma semata-mata. Walaupun sebahagian besar dana yang dikumpulkan menerusi pelbagai program amal disalurkan secara langsung sebagai bantuan kewangan dan bantuan ke Gaza, usaha ini harus disertai dengan kesedaran akar umbi yang mendalam.
“Kita sering melihat Palestin hanya melalui gambar runtuhan dan kotak bantuan. Itu benar, tetapi itu bukan keseluruhan cerita. Palestin ialah sebuah bangsa yang sedang memperjuangkan kemerdekaannya,” kata Naim Rais, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Komuniti Dakwah Dan Tarbiah.
Pihak penganjur turut menegaskan bahawa selagi punca sebenar seperti pendudukan tanah yang berlarutan selama lebih tujuh dekad, sekatan ke atas Gaza, dan penafian hak pulang rakyat Palestin tidak ditamatkan, krisis kemanusiaan ini akan terus berulang.
Menutup tirai acara, pihak penganjur bersama barisan duta menggariskan empat seruan utama kepada orang ramai untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Antaranya adalah dengan bersuara bagi memastikan isu Palestin terus menjadi perbualan hangat di ruang awam dan media sosial agar ia tidak padam ditelan zaman.
Selain itu, orang ramai diseru untuk terus boikot dengan menyokong gerakan terhadap syarikat-syarikat yang dikenal pasti menyokong rejim pendudukan. Di samping itu, aspek didik turut ditekankan iaitu untuk memahami dan berkongsi sejarah serta punca sebenar konflik, dan bukannya sekadar memaparkan berita semasa. Akhir sekali, masyarakat dianjurkan agar terus sokong dengan menyalurkan sumbangan kemanusiaan melalui saluran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sah dan dipercayai.
Acara yang dianjurkan oleh Orang Biru, FullStag Artelier, dan We Are Magnificent dengan kerjasama Bumi Mikraj ini berjaya membuktikan bahawa solidariti mampu merentasi sempadan genre seni demi menuntut keadilan buat rakyat Palestin.

