Muzik

Ernie Zakri Selami Jiwa Menerusi ATMA, Teroka Cinta, Rindu Dan Luka

Oleh

Ernie Zakri Selami Jiwa Menerusi ATMA, Teroka Cinta, Rindu Dan Luka

KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara besar, Ernie Zakri, kembali dengan karya terbaharu menerusi album ATMA, sebuah naskhah tujuh trek yang menampilkan sisi lebih matang, berani dan peribadi dalam perjalanan seninya.

Membawa maksud “jiwa”, ATMA menyelami pelbagai lapisan emosi manusia termasuk cinta, kerinduan, luka, kemarahan serta kekuatan untuk menerima dan bangkit semula.

Bagi Ernie, judul ATMA dipilih kerana ia mencerminkan perkara yang membentuk seseorang daripada dalam — termasuk pengalaman, perasaan dan sisi diri yang tidak semestinya dapat dilihat orang lain.

Menurutnya, jiwa bukan sesuatu yang mudah diterangkan kerana ia merangkumi segala yang pernah dirasai, disimpan dan dilalui sehingga membentuk siapa seseorang itu hari ini.

Ernie Zakri Selami Jiwa Menerusi ATMA, Teroka Cinta, Rindu Dan Luka

ATMA jadi fasa baharu Ernie Zakri, angkat tema cinta, luka dan kekuatan diri.

 

Lebih Padat, Lebih Berkonsep

Berbeza dengan album terdahulu, AURA, yang membawa perjalanan muzik lebih luas, ATMA tampil dengan pendekatan lebih padat dan tersusun.

Pemilihan hanya tujuh trek dibuat secara sengaja bagi memastikan setiap lagu mempunyai fungsi tersendiri dalam naratif keseluruhan album.

Struktur album itu bermula dengan sebuah intro, diikuti lima lagu penuh yang membawa emosi utama sebelum ditutup menerusi lagu Finito.

Susunan trek tersebut dibentuk sebagai satu perjalanan yang bergerak daripada suasana lebih tegas dan gelap kepada sisi lebih lembut serta terbuka kepada penerimaan.

Ernie Zakri Selami Jiwa Menerusi ATMA, Teroka Cinta, Rindu Dan Luka

ATMA saksikan Ernie Zakri menyelami setiap emosi dengan vokal penuh penghayatan.

 

Vokal Ernie Diuji Dengan Emosi Berbeza

Bukan sekadar bergantung kepada kekuatan vokal, ATMA turut menuntut Ernie menyesuaikan penghayatan mengikut karakter setiap lagu.

Setiap trek membawa emosi yang berbeza dan cabaran utamanya adalah memastikan perubahan itu disampaikan dengan tepat serta jujur tanpa menjadikan keseluruhan album terasa seragam.

Walaupun disampaikan menerusi suara dan interpretasi Ernie, kandungan ATMA bukan gambaran literal kehidupan peribadinya.

Sebaliknya, album itu terbina daripada gabungan pengalaman, pemerhatian, empati dan imaginasi, selain menyentuh tema lebih luas seperti kesunyian, ketakutan serta pergulatan seseorang dengan dirinya sendiri.

Ernie Zakri Selami Jiwa Menerusi ATMA, Teroka Cinta, Rindu Dan Luka

Selepas ‘Sejambak Bunga’, Ernie Zakri kembangkan naratif emosi menerusi ATMA.

 

‘Sejambak Bunga’ Buka Pintu Ke Dunia ATMA

Perjalanan menuju ATMA terlebih dahulu diperkenalkan melalui single Sejambak Bunga, yang memperlihatkan sisi Ernie lebih matang dan berani.

Pendekatan muzik serta visual yang lebih gelap dan intim dalam karya itu menjadi petunjuk awal kepada arah kreatif yang kemudiannya dikembangkan dengan lebih menyeluruh menerusi album baharu ini.

Sebelum pelancaran rasmi, Ernie bersama pasukannya turut menganjurkan Intimate Pre-Album Listening Party pada 15 Oktober 2026 bagi memberi peluang kepada peminat menikmati album berkenaan lebih awal.

Identiti visual ATMA turut diperkenalkan secara berperingkat melalui siri imej konsep yang dikongsikan menerusi media sosial.

Ernie Zakri Selami Jiwa Menerusi ATMA, Teroka Cinta, Rindu Dan Luka

Ernie Zakri mahu ATMA jadi pengalaman, bukan sekadar sebuah album.

 

Mahu ATMA Terus ‘Hidup’

Bagi Ernie, perjalanan ATMA tidak sepatutnya berakhir selepas album itu dilancarkan.

Sebaliknya, beliau berharap karya berkenaan dapat terus berkembang menerusi persembahan secara langsung, kandungan visual serta pengalaman lain yang membolehkan pendengar mendekati dunia ATMA dengan lebih mendalam.

Dengan pendekatan lebih intim dan tersusun, ATMA memperlihatkan keberanian Ernie untuk meneroka sisi seni yang lebih emosional tanpa bergantung semata-mata kepada kekuatan vokalnya.

Album ATMA kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman utama.

, , ,

Verified by MonsterInsights