Wayang

Filem ‘Bisikan’ Tampil Kelainan ‘Double Horror’ & ‘Horror of Truth’: Ujian 6 Tahun dan Air Mata Penerbit Akhirnya Terbayar

Oleh

Filem ‘Bisikan’ Tampil Kelainan ‘Double Horror’ & ‘Horror of Truth’: Ujian 6 Tahun dan Air Mata Penerbit Akhirnya Terbayar

KUALA LUMPUR- Industri perfileman tanah air bakal disajikan dengan sebuah karya genre seram thriller yang unik dan mendebarkan menerusi filem terbaharu, Bisikan, yang dijadualkan menemui penonton di 70 buah pawagam seluruh Malaysia bermula 19 November 2026 ini. Terbitan D’Alpha Legacy Production, filem arahan Opie Zami ini menggetarkan jiwa penonton menerusi pendekatan ‘Horror of Truth’ yang diinspirasikan daripada kes-kes sebenar ketika tempoh perkhidmatan penerbitnya sebagai bekas Timbalan Pendakwa Raya dan Majistret.

Filem Bisikan tampil dengan kelainan tersendiri menerusi gabungan elemen mistik dan ‘horror of truth’ atau ‘Double Horror’, di mana penerbitnya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, menyatakan bahawa konsep ini belum pernah ditampilkan dalam mana-mana filem tempatan. Menerusi elemen itu, penonton akan dapat melihat dan merasai kesakitannya selepas 30 minit pertama filem ini, di samping membawa elemen hubungan kekeluargaan, kasih sayang, kehilangan serta ketakutan manusia terhadap perkara yang tidak mampu mereka kawal. Beliau menambah bahawa pengalamannya di bilik mahkamah menyedarkannya bahawa realiti kehidupan dan luka emosi manusia kadangkala jauh lebih menakutkan daripada gangguan mistik, lalu melahirkan ungkapan “Luka Yang Berbisik” sebagai tunggak identiti filem ini.

Filem berdurasi 86 minit dan berklasifikasi 18 ini mengisahkan Syafiq (lakonan Iman Zulkarnain) yang berpindah ke rumah baharu bersama keluarganya dengan harapan memulakan kehidupan baharu. Namun, ketenangan yang dicari bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia mula diganggu oleh suara-suara misteri dan kelibat menakutkan yang hanya mampu didengar dan dilihat olehnya. Ibu bapanya (dimainkan watak oleh Azhan Rani dan Vanida Imran) menganggapnya hanya mereka-reka cerita, manakala kekasihnya Arissa (Fatin Afeefa) mula menjauhkan diri. Satu-satunya insan yang mempercayai dan paling disayanginya ialah adiknya, Syira (Rayqa). Demi mempertahankan adiknya daripada ancaman kuasa ghaib yang tahu ketakutan terbesarnya, Syafiq nekad melawan walaupun setiap penentangan membawa gangguan yang semakin mengerikan.

Selain barisan pelakon utama, filem ini turut menampilkan Altimet sebagai Bront, di mana beliau bukan sahaja membuat penampilan khas malah menyumbang suara bagi lagu runut bunyi rasmi (OST) filem Bisikan berjudul “Hujan”, berduet bersama penyanyi bertenaga, Mimi Fly. Di balik tabir, penggambaran dan pengarahan dikagumi menerusi sentuhan Penolong Pengarah Ajiboy, Pengarah Sinematografi Mohamad Ridhuwan Zainal Abidin, serta Pengarah Seni Mukhsalmina Bin Ismail, di bawah skrip yang ditulis sendiri oleh Nur A’minahtul Mardiah.

Proses pembentukan dan penyiapan filem yang menelan kos penerbitan sebanyak RM1.5 juta ini bukanlah satu perjalanan yang mudah. Penggambaran yang berlokasi di sebuah rumah di Kuantan disiapkan seawal 9 Ogos 2020, namun tayangannya terpaksa tertangguh selama enam tahun akibat siri cabaran yang amat berat. Antara cabaran utama yang dialami termasuklah penangguhan akibat pandemik COVID-19, isu aset janaan komputer (CGI) yang membabitkan 80 peratus daripada filem hingga kehabisan dana pasca produksi, insiden penipuan wang, serta tindakan saman daripada pelabur akibat kelewatan penyiapan filem.

Filem ini akhirnya diselamatkan daripada ‘lumpuh’ apabila menerima dana pasca penerbitan sebanyak RM300,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), manakala isu undang-undang berkaitan pelabur telah selesai sepenuhnya pada Jun 2026. Menyingkap kembali saat-saat sukar tersebut, Nur A’minahtul Mardiah mengakui sering menangis pada waktu malam sebelum membuat keputusan menunaikan umrah pada Mac 2025 untuk berdoa di depan Kaabah, yang akhirnya membolehkan semua urusan diperudahkan.

Bagi para peminat filem seram tempatan, poster rasmi filem Bisikan telah pun dilancarkan di platform sosial @dalphamovie pada 7 Oktober, manakala trailer rasmi telah mula ditayangkan pada 14 Oktober lalu sebagai persediaan menanti tayangan rasmi di pawagam pada 19 November 2026.

, ,

Verified by MonsterInsights