Muzik

Tujuh Bakat Muzik Asia Bersatu Hasilkan Anthem ‘New Day Rising’ Menerusi Inisiatif Toyota Motor Asia

Oleh

Tujuh Bakat Muzik Asia Bersatu Hasilkan Anthem ‘New Day Rising’ Menerusi Inisiatif Toyota Motor Asia

KUALA LUMPUR – Dalam satu langkah inovatif yang menggabungkan automotif dan seni muzik, Toyota Motor Asia melancarkan program muzik serantau baharu dikenali sebagai Move Your World Beat. Program ini menghimpunkan tujuh bakat muzik muda dari enam negara Asia untuk menghasilkan lagu anthem baharu bertajuk “New Day Rising”.

Lagu tersebut telah ditayangkan secara eksklusif menerusi saluran YouTube pada 23 Oktober lepas, jam 8.00 malam waktu Singapura. “New Day Rising” merupakan lagu utama dalam album sulung kolektif berkenaan, Move Your World Beat Volume 1.

Tayangan perdana itu turut menampilkan sebuah filem dokumentari khas di sebalik tabir yang memaparkan proses kreatif dan eksperimen muzik mereka.

Keunikan utama projek kolaborasi ini terletak pada pendekatan pembentukan muziknya. Para artis telah menggunakan sampel bunyi harian kenderaan Toyota seperti klik lampu isyarat membelok, pertukaran gear, dengungan tingkap kuasa, dan hentakan pintu kereta lalu diolah menjadi elemen ritma dan melodi.

Bunyi-bunyian automotif ini kemudian digabungkan bersama instrumen tradisional dari tanah air masing-masing, seperti alat muzik seruling berkembar Alghoza dari Pakistan dan xilofon buluh Đàn tơ rưng dari Vietnam.

Tujuh artis yang menjayakan album ini mewakili enam buah negara iaitu Pakistan, Vietnam, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand.

Wakil dari Malaysia, Belle Sisoski merupakan pemuzik pelbagai instrumen dan penerbit yang terkenal dengan gabungan instrumen etnik Asia Tenggara bersama muzik elektronik dan sinematik. Beliau juga merupakan naib juara Commonwealth Song Contest dan tersenarai dalam Rolling Stone UK Best Independent Acts 2025.

Seterusnya Natasha Noorani dari Pakistan, seorang ahli etnomuzikologi terlatih yang menggabungkan tradisi Asia Selatan dengan pop elektronik. 2pillz (Vietnam) merupakan Penerbit muzik dan DJ yang pernah mencatatkan lebih tiga juta penstriman menerusi album sulungnya. Shye dari Singapura seorang artis bebas genre dream-pop dan shoegaze yang mengendalikan keseluruhan proses penulisan, penerbitan, dan adunan audio secara kendiri.

Valentina Ploy dari Thailand / Italy merupakan penyanyi -penulis lagu berdarah campuran yang pernah menjadi artis pembuka tirai bagi konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour di Bangkok. Akhir sekali Miguel & Paolo Benjamin dari Filipina yang merupakan duo saudara kembar yang mengasaskan kumpulan folk-pop terkenal Filipina, Ben&Ben.

Pengurus Besar Toyota Motor Asia, Jaja Ishibashi, menyatakan bahawa inisiatif ini sejajar dengan falsafah platform Move Your World, di mana pergerakan bukan sahaja bermaksud perjalanan fizikal tetapi juga pemerkasaan komuniti dan penyatuan pelbagai latar belakang.

“Hasrat kami adalah untuk menyumbang kepada perkembangan pemuzik Asia, di samping memperkasakan komuniti yang menjadi tulang belakang mereka. Dengan menghimpunkan artis daripada pelbagai budaya, kami berharap dapat memperluaskan batas kemungkinan muzik Asia,” kata beliau.

Peminat dan khalayak ramai kini boleh mendengar karya Move Your World Beat Volume 1 menerusi platform penstriman Spotify serta menonton filem dokumentari sebalik tabir di YouTube.

,

Verified by MonsterInsights