Lokal

TVS Menang Besar, Tiga Trofi ASA 2026 Lengkapkan Ulang Tahun Ke-6

Oleh

TVS Menang Besar, Tiga Trofi ASA 2026 Lengkapkan Ulang Tahun Ke-6

KUALA LUMPUR – Sambutan ulang tahun keenam TVS bertambah manis apabila stesen penyiaran itu mencatat pencapaian membanggakan dengan merangkul tiga anugerah di Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA 2026) yang berlansung malam Sabtu lalu.

Kejayaan itu hadir tidak lama selepas TVS menerima The BrandLaureate BestBrands Award 2026, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara jenama penyiaran tempatan yang terus berkembang dalam industri kreatif negara.

Tiga Karya Angkat Nama TVS

Pada acara prelude ASA 2026, TVS terlebih dahulu mencatat dua kemenangan menerusi karya animasi Lauk Ka Indai, terbitan Amirul Afiq Hussain yang dinobatkan sebagai Animasi Tempatan TV Terbaik.

Turut mencuri perhatian ialah filem komedi pendek Ro Bin Hud, karya Ain Suhada Ahmad, yang membawa pulang anugerah Komedi TV Terbaik.

Momentum kemenangan itu diteruskan pada malam kemuncak apabila animasi tempatan Kumang & The Ungrateful Python, karya Khiu Siaw Fong, menerima Anugerah Khas Juri.

Kejayaan tersebut melengkapkan tiga trofi buat TVS sepanjang ASA 2026.

Selain membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM8,000, TVS turut menerima sebuah kenderaan elektrik Perodua QV-E bernilai RM80,000.

TVS Menang Besar, Tiga Trofi ASA 2026 Lengkapkan Ulang Tahun Ke-6

TVS buktikan keunggulan dengan empat pengiktirafan berprestij dalam sebulan.

 

Kreativiti Sarawak Terus Diberi Ruang

Pencapaian berkenaan turut menyerlahkan kemampuan karya tempatan, khususnya animasi dan komedi yang mengetengahkan identiti serta penceritaan dari Sarawak.

Menurut kenyataan TVS, kejayaan itu membuktikan platform berkenaan terus menyediakan ruang kepada pengkarya untuk membawa idea dan cerita yang mencerminkan keunikan negeri Bumi Kenyalang kepada khalayak lebih luas.

Animasi Kumang & The Ungrateful Python diterbitkan TVS dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menerusi Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak.

BrandLaureate Tambah Manis Ulang Tahun Keenam

Sebelum kejayaan di ASA 2026, TVS turut menerima The BrandLaureate BestBrands Award 2026 bagi kategori Nation’s Pride Excellence in Corporate Branding & Media Development.

Pengiktirafan itu diberikan atas kecemerlangan penjenamaan korporat serta sumbangan TVS terhadap pembangunan sektor media.

Rentetan kejayaan berkenaan menjadikan ulang tahun keenam TVS lebih bermakna apabila pencapaiannya bukan sahaja diiktiraf menerusi kandungan, malah daripada sudut pembangunan jenama.

Memasuki fasa seterusnya, TVS menyatakan komitmen untuk terus memperkayakan landskap penyiaran menerusi penghasilan karya berkualiti, menyokong bakat kreatif serta membawa lebih banyak cerita dari Sarawak kepada penonton lebih luas.

Kemenangan di ASA 2026 sekali gus memberi suntikan baharu buat TVS untuk terus berkembang sebagai sebuah platform yang meraikan kreativiti, warisan serta kepelbagaian cerita Malaysia.

, , , ,

Verified by MonsterInsights