KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membawa nilai keseluruhan RM459.8 bilion, tetapi persoalan paling dekat dengan rakyat tentunya satu — berapa banyak daripadanya benar-benar akan dirasai dalam kehidupan harian?
Daripada jumlah itu, RM376.8 bilion atau 81.9 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM83 bilion untuk pembangunan. Pada masa sama, kerajaan menyasarkan defisit fiskal mengecil kepada 3.3 peratus daripada KDNK pada 2027, meneruskan proses konsolidasi fiskal negara.

B40: SARA Jadi ‘Payung’ Utama
Antara kelompok yang paling jelas mendapat manfaat ialah isi rumah berpendapatan rendah apabila peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan kepada RM16 bilion.
Semua penerima STR turut layak menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, dengan kira-kira sembilan juta penerima dijangka mendapat manfaat. Selain itu, 13 juta rakyat dewasa termasuk sebahagian M40 bakal menerima SARA RM100 pada dua waktu tertentu sepanjang tahun.
Langkah ini jelas cuba mengurangkan tekanan kos sara hidup secara lebih bersasar, khususnya bagi pembelian barangan asas.

M40 Akhirnya Dapat ‘Breathing Space’
Golongan pertengahan pula menerima berita yang mungkin antara paling signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus, manakala banjaran RM100,000 hingga RM150,000 diturunkan kepada 24 peratus. Kerajaan menganggarkan langkah itu mampu memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
Pelepasan cukai juga diperluas merangkumi antaranya penjagaan selepas bersalin, penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, tuisyen anak, kasut sukan, langganan kecerdasan buatan (AI) serta beberapa perbelanjaan berkaitan haiwan peliharaan.

Pekerja Bergaji Rendah Dapat Kenaikan, Tapi Ada Pengecualian
Satu lagi pengumuman besar ialah kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Namun ada satu perkara penting yang mungkin terlepas daripada perhatian ramai — perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu buat masa ini bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.
Kerajaan turut memperkenalkan lantai gaji permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, sebagai sebahagian usaha merapatkan jurang antara kelayakan, produktiviti dan pendapatan.

Pekerja Gig Dapat Perlindungan Lebih Serius
Pemandu e-hailing dan p-hailing pula antara kelompok yang mendapat perhatian lebih tersusun kali ini.
Kerajaan bersama Grab menyediakan pakej bernilai RM160 juta, selain insentif caruman padanan Perkeso, caruman padanan KWSP sehingga RM600 setahun serta pembiayaan RM270 juta menerusi BSN dan Agrobank untuk pekerja gig yang mahu berniaga atau membeli rumah pertama.
Ini memberi isyarat bahawa pekerja gig mula dilihat bukan lagi sebagai sektor pekerjaan sementara, tetapi sebahagian penting daripada pasaran buruh negara.

Keluarga Dengan Anak Sekolah Turut Dapat Lebih
Bagi ibu bapa, Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 untuk setiap murid.
Seramai 5.3 juta pelajar dijangka menerima bantuan itu, manakala kerajaan turut menyediakan elaun sara hidup RM2,500 kepada kira-kira 90,000 pelajar Tingkatan Enam.
Peruntukan membaik pulih serta menyelenggara sekolah pula digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion, termasuk peningkatan peruntukan kepada Sekolah Kebangsaan, SJKC, SJKT serta institusi pendidikan agama.

Kesihatan Dapat RM47.7 Bilion
Sektor kesihatan terus menjadi antara penerima utama dengan peruntukan RM47.7 bilion. Lebih 9,000 doktor kontrak dijangka ditawarkan jawatan tetap pada 2027, manakala insentif beberapa kategori anggota kesihatan turut dinaikkan.
Kesannya mungkin tidak terus dirasai seperti bantuan tunai, tetapi ia penting dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap fasiliti awam serta menangani isu tenaga kerja kesihatan yang sudah lama berlarutan.

Pembeli Rumah Pertama Dapat Ruang Lebih Besar
Golongan yang mahu memiliki rumah pertama turut menerima beberapa insentif. Kerajaan menyediakan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi membantu 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya mereka yang bekerja sendiri atau tidak mempunyai pendapatan tetap.
Pengecualian duti setem turut diperluas bagi pembelian rumah pertama sehingga RM500,000, manakala rumah sehingga RM750,000 menikmati pengecualian tertentu.

Industri Kreatif Pun Tak Ketinggalan
Satu lagi perkara yang mungkin kurang mendapat perhatian ialah lebih RM130 juta diperuntukkan kepada industri kreatif, termasuk filem, muzik dan kandungan tempatan.
Mulai 2027, tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan turut dikecualikan sepenuhnya daripada duti hiburan.
Untuk industri hiburan dan kandungan, ini bukan jumlah terbesar dalam belanjawan, tetapi ia memberi pengiktirafan bahawa sektor kreatif turut mempunyai nilai ekonomi, pekerjaan dan eksport budaya.

Siapa Dapat ‘Sikit’?
Walaupun Belanjawan 2027 sarat dengan bantuan dan pelepasan, tidak semua manfaat datang dalam bentuk wang tunai.
Sebahagian M40 mungkin lebih banyak menikmati manfaat melalui cukai lebih rendah, golongan bekerja sendiri pula melalui akses pembiayaan dan perlindungan sosial, manakala PMKS mendapat ruang bernafas melalui pengecualian pelaksanaan gaji minimum baharu.
Dalam erti kata lain, “siapa paling untung” bergantung kepada kedudukan masing-masing — penerima STR mendapat bantuan terus, pembayar cukai mendapat penjimatan, pekerja mendapat lantai gaji lebih tinggi dan usahawan pula mendapat insentif berbeza.

Yang Ramai Mungkin Tak Perasan
Angka besar Belanjawan 2027 juga datang bersama satu realiti fiskal: sebahagian besar peruntukan masih digunakan untuk operasi kerajaan, emolumen, persaraan, subsidi dan bayaran khidmat hutang.
Bayaran khidmat hutang sahaja dijangka meningkat kepada RM61 bilion, manakala subsidi dan bantuan sosial dianggarkan berjumlah RM72.7 bilion dalam komponen perbelanjaan mengurus.
Sebab itu ukuran sebenar kejayaan Belanjawan 2027 bukan sekadar berapa banyak bantuan diumumkan, tetapi sama ada pendapatan rakyat benar-benar meningkat lebih pantas daripada kos hidup, harga barang dapat dikawal dan projek pembangunan memberi kesan berpanjangan.
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 kelihatan cuba mencari titik tengah antara membantu rakyat sekarang dan menjaga kewangan negara untuk jangka panjang.
Dan bagi rakyat, jawapan sebenar kepada persoalan “siapa paling untung?” mungkin hanya akan muncul apabila semua dasar ini mula dirasai dalam gaji, cukai, harga barang dan baki akaun bank sepanjang tahun depan.
Nota: Artikel ini ditulis berdasarkan petikan laporan portal berita tempatan.

