SEPANG – Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA) Malaysia secara rasmi membuka tirai Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali ke-5 (KHUP5) hari ini. Berlangsung di Mövenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), KLIA, Sepang selama tiga hari hingga 11 Oktober ini, karnival tersebut menghimpunkan sebanyak 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen bagi menawarkan pelbagai pakej haji untuk musim 1448H/2027M.

Mengangkat tema utama ‘Tiada Visa, Tiada Haji’, penganjuran edisi kelima ini bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam di Malaysia mengenai kepentingan menggunakan visa haji yang sah serta saluran yang diiktiraf. Langkah ini amat penting bagi menjamin keselamatan, kebajikan, serta kelancaran perjalanan para bakal jemaah ketika menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, menegaskan bahawa bakal jemaah harus memastikan segala urusan perjalanan dibuat melalui saluran yang sah bagi mengelakkan sebarang risiko penipuan.
“TH tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat lain sebagai ejen bagi menawarkan pakej haji melainkan 34 syarikat PJH yang dilesenkan,” ujar beliau sambil menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan menyeluruh daripada sumber rasmi sebelum melakukan sebarang pembayaran.
Sementara itu, Presiden BUMITRA Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin, berkata KHUP5 turut berfungsi sebagai platform sehenti (one-stop centre) bagi pengunjung mendapatkan maklumat pakej umrah dan pelancongan Islamik. Beliau melahirkan rasa syukur atas sambutan menggalakkan yang diterima, di mana platform digital KHUP5 telah mencatatkan lebih 52,230 muat turun bahan digital—termasuk e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M dan Majalah KHUP5 serta menerima lebih 862 pra-pendaftaran dalam talian.
Pendekatan pendigitalan serta promosi aktif melalui media sosial oleh pihak PJH disifatkan sebagai penambahbaikan ketara dalam penganjuran kali ini demi memudahkan capaian maklumat kepada masyarakat.

Foto penerima cabutan bertuah KHUP5 sebanyak RM2,500.00
Selain pameran pakej, KHUP5 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti berunsurkan pendidikan dan hiburan keluarga, termasuk bual bicara, simulasi haji cilik, pertandingan mewarna, serta persembahan daripada kumpulan nasyid terkenal seperti The Rayhan, Rabbani, dan Ezad Lazim. Kehadiran maskot popular BoBoiBoy menerusi kuiz interaktif turut menjadi tarikan kepada pengunjung cilik.

Karnival turut mendapat sokongan daripada enam institusi perbankan Islam dan rakan strategik sektor kesihatan yang menawarkan penyelesaian kewangan patuh syariah, perlindungan perjalanan, serta pemeriksaan kesihatan percuma. Pengunjung juga berpeluang mengunjungi Galeri Haji di MHCC bagi menelusuri sejarah pengurusan haji di Malaysia melalui koleksi artifak dan pameran interaktif.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut serta e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M boleh melayari laman sesawang rasmi di khupmalaysia.com atau mengikuti media sosial rasmi KHUP5.

