Muzik

D’Otai Boyz dan Farah Asikin SV Pertaruh “Sketsa”, Angkat Kisah Cinta Tiga Segi Penuh Syahdu

Oleh

D’Otai Boyz dan Farah Asikin SV Pertaruh “Sketsa”, Angkat Kisah Cinta Tiga Segi Penuh Syahdu

KUALA LUMPUR — Industri muzik tempatan kembali hangat dengan kemunculan buah tangan terbaharu daripada kumpulan rock dan balada berpengaruh, D’OtaiBoyz, menerusi single berjudul “Sketsa”. Lebih istimewa, kemunculan single ini turut menyaksikan kolaborasi bermakna bersama juara Suara Viral Astro, Farah Asikin SV, yang sekaligus menandakan kembalinya beliau (comeback) ke persada arus perdana seni suara tanah air selepas sekian lama menyepi.

Foto Kumpulan D’OtaiBoyz

Diteguhkan dengan pengalaman lebih sedekad dalam industri, kumpulan yang asalnya ditubuhkan pada tahun 2007 sebagai The OtaiBoyz sebelum dijenamakan semula sebagai D’OtaiBoyz pada 2020 ini terus membuktikan konsistensi mereka. Dianggotai oleh barisan pemuzik berpengalaman iaitu Isham (Boy Botak) sebagai vokalis utama, Nazry (Naz) di posisi gitar pertama, Zulkifli (Dzoul) selaku gitar kedua, Khairani (A.K) pemain bass, Zulfadhli (Zul Black) pada dram, serta Luqman (Man LP) sebagai pemain keyboard, mereka sentiasa komited menghasilkan karya berkualiti tinggi yang merentasi pelbagai genre termasuk rock, pop, balada, dan metal.

Foto Farah Asikin SV

Menurut Boy Botak, single “Sketsa” hasil ciptaan lirik oleh Zulhilmi yang juga merupakan sepupunya ini tercetus daripada keinginan untuk mengetahkan sebuah nukilan rasa yang benar-benar dekat dengan realiti kehidupan manusia. “Sketsa bukan sekadar lagu cinta biasa. Kami mahu membawa pendengar menyelami emosi seseorang yang terpaksa melepaskan insan disayangi demi kebahagiaan orang lain. Pengorbanan itu memang menyakitkan, tetapi kadangkala itulah makna sebenar sebuah cinta,” jelasnya ketika mengulas mengenai mesej mendalam di sebalik lagu berkenaan. Tambah beliau lagi, setiap insan pasti pernah melalui episod kehilangan atau percintaan yang tidak kesampaian, menjadikan lagu ini wadah penawar serta teman sejati buat pendengar.

Dari sudut gubahan muzik pula, pemain keyboard kumpulan ini, Man LP, mendedahkan bahawa setiap melodi dan susunan harmoni dirangka dengan teliti bagi memastikan elemen kehilangan, pengorbanan, dan penerimaan takdir dapat meresap ke dalam jiwa pendengar. Kehadiran vokal bertenaga milik Farah Asikin SV turut memberikan dimensi baharu yang menyegarkan, menggabungkan keserasian vokal yang ampuh dengan penjiwaan lirik yang sarat dengan air mata dan keikhlasan.

Selain aktif menerbitkan karya baharu, D’OtaiBoyz turut memperkukuhkan pengaruh seni mereka ke peringkat serantau merangkumi pasaran Malaysia, Singapura, dan Indonesia menerusi pelbagai siri persembahan pentas serta interaksi bersama media antarabangsa. Dengan pelancaran “Sketsa”, pihak kumpulan berharap agar karya sarat emosi ini dapat diterima baik oleh seluruh pencinta muzik, sekali gus terus memartabatkan lagu-lagu berentak balada bermesej tinggi di hati peminat tempatan.

, ,

Verified by MonsterInsights