Arena muzik tempatan bakal melakar sejarah baharu apabila penganjuran RAPAT Hip Hop Fest dijadualkan berlangsung secara besar-besaran di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Oktober 2026.

Mengangkat tema “When Underground Takes The National Stadium,” festival berprestij ini dijangka menjadi medan perhimpunan terbesar bagi merapatkan jurang antara penggiat arena bawah tanah (underground), bintang arus perdana, serta peminat budaya urban.

Dianjurkan oleh agensi pengurusan terkemuka, CEOMAN Entertainment, perkataan “RAPAT” dipilih bagi melambangkan erti berkumpul, bersatu, dan meruntuhkan jurang pemisah antara generasi perintis (OGs) dengan bakat-bakat baharu tanpa mengira batasan bahasa atau bangsa.
Menurut Penganjur Acara, Sherman Heng, idea ini tercetus daripada persoalan sama ada Hip Hop tempatan mampu memenuhi ruang stadium berskala besar, berbekalkan pengalaman luas menganjurkan pelbagai konsert antarabangsa untuk membuktikan potensi serta nilai komersial luar biasa yang dimiliki oleh bakat-bakat anak tempatan.

Antara segmen paling dinanti-nantikan oleh peminat ialah The National Cypher, sebuah persembahan ikonik yang bakal menghimpunkan 100 rapper tempatan dari pelbagai latar belakang era, negeri, dan bahasa di atas satu pentas.

Bagi memeriahkan pentas utama (Main Stage), penganjur telah mengumumkan senarai nama Fasa Pertama yang membariskan fenomena industri muzik seperti Bunga, Forceparkbois, dan K-Clique, yang disifatkan sebagai lambang kepelbagaian warna serta tenaga dinamik dalam arena Hip Hop semasa dan turut disokong oleh barisan bakat underground, DJ, serta pembuat breker (breakers) tempatan.

Beroperasi bermula jam 11 pagi hingga 11 malam, pengunjung disajikan dengan lima zon interaktif bagi merasai sendiri kehangatan budaya jalanan (street culture) iaitu The Main Stage bagi persembahan langsung, The Underground untuk pentas battle dan cypher generasi baharu, The Street yang menampilkan aksi breakdance dan papan selaju, The Market sebagai hab gaya hidup urban dan streetwear, serta The Flavour / Rapat Bazaar untuk pameran makanan tempatan.
Mementingkan elemen keterangkuman agar dapat diakses oleh segenap lapisan masyarakat, penganjur menawarkan tiket General Admission iaitu RAPAT GENG pada harga RM99 sahaja, iaitu kadar paling rendah pernah diperkenalkan untuk festival berskala stadium, di mana orang ramai boleh mula mendapatkan tiket rasmi menerusi platform maiseat.com dan ticket2u.com bermula 28 September 2026.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut pihak media, wakil penganjur boleh dihubungi menerusi talian Bobby (+016-369 0770), Yan (+6010-214 3513), atau Zul Husni (+6012-379 2772).

