Ikuti Kami:

Azeva Pertaruh ‘Tanpa Rasa Jemu’, Tampil Sentuhan Istimewa Datuk A. Aida Dalam Single Sulung

Azeva Pertaruh ‘Tanpa Rasa Jemu’, Tampil Sentuhan Istimewa Datuk A. Aida Dalam Single Sulung

KUALA LUMPUR — Industri muzik tanah air terus diserikan dengan kemunculan bakat baharu, Azeva, yang secara rasminya mempertaruhkan single sulungnya berjudul “Tanpa Rasa Jemu”. Karya yang sarat dengan mesej kasih sayang dan kesetiaan tanpa syarat ini menjadi titik permulaan perjalanan seni beliau dalam meletakkan nama di arena muzik tempatan.

Lagu melodi indah ini merupakan hasil ciptaan komposer berpengalaman Zul 2By2, Aiman, dan Madi Mulyadi, manakala liriknya mendapat sentuhan istimewa daripada ibu Azeva sendiri, penerbit terkenal Datuk A. Aida.


Foto Azeva di majlis sidang media pelancaran single sulung ‘Tanpa Rasa Jemu’ baru-baru ini di Hard Rock Cafe, KL

Azeva berkongsi bahawa daripada beberapa pilihan lagu yang diterimanya, “Tanpa Rasa Jemu” terus mencuri perhatian dan hatinya sejak kali pertama diperdengarkan.

“Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar-benar menyentuh hati saya. Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini. Setiap kali mendengarnya, saya rasa tidak puas,” ujar Azeva.

Beliau turut meluahkan rasa bersyukur atas sokongan padu serta bimbingan penuh yang diterima sepanjang proses pembikinan lagu tersebut.

“Lagu ini sangat istimewa kerana mama turut terlibat dalam proses pembikinannya, manakala Abang Zul, Aiman dan Madi banyak membimbing saya sepanjang proses rakaman. Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa,” tambahnya.

Mengulas mengenai jalan cerita dan tema lagu, Azeva menjelaskan bahawa “Tanpa Rasa Jemu” mengisahkan keteguhan cinta yang tidak goyah biarpun diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan hidup. Menariknya, karya ini turut dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) bagi filem terbaharu, ‘Bisikan Nafsu’, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober 2026. Filem berkenaan mengisahkan kesetiaan seorang lelaki yang kekal mencintai pasangannya walau berdepan ujian yang amat berat.


Foto Azeva & Ibunya, Dato’ A. Aida

Bagi Azeva, mesej mendalam yang dibawakan lagu ini melangkaui hubungan romantik semata-mata, malah mencerminkan ikatan kasih sayang sesama ahli keluarga yang sentiasa menerima dan menyokong antara satu sama lain tanpa mengenal rasa jemu.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman menyanyi secara profesional sebelum ini, Azeva menjadikan proses pembikinan single ini sebagai medan pembelajaran utama untuk mengasah teknik vokal, sebutan, serta kawalan suara. Beliau turut menjalani latihan dan kelas vokal yang berjaya meningkatkan keyakinannya untuk beraksi secara langsung sebagai seorang penyanyi yang lebih matang.

Memandang ke hadapan, penyanyi baharu ini meluahkan harapan agar karya pertamanya mendapat tempat yang kukuh di hati para pendengar. Azeva turut membocorkan bahawa beliau kini dalam perancangan untuk dua projek rakaman seterusnya, termasuk membawakan versi baharu lagu ikonik “Sejiwa” yang mempunyai nilai sentimental tinggi buat keluarganya, serta sebuah lagi lagu tema bagi projek animasi.

Single “Tanpa Rasa Jemu” diterbitkan menerusi usahasama strategik antara Nova Music Malaysia dan A. Aida Production. Lagu ini kini boleh diperdengarkan di semua platform penstriman muzik digital. Muzik video (MV) rasmi bagi lagu ini juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi *Nova Music Videos*.

Loading...