‘Jung Jung Inai’ Angkat Irama Tradisional Moden, Iman Troye Raih Gelaran ‘Diamond Artist’
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 Sep 2026 9:33 pm
SUNGAI BULOH: Permulaan yang cukup ampuh buat lagu terbaharu nyanyian Iman Troye dan Asslahierah bertajuk Jung Jung Inai apabila karya berkenaan meledak di platform digital dengan mengumpul melebihi 1.5 juta penstriman sebelum klip video muziknya (MV) rasmi dilancarkan.
Fenomena yang bermula daripada cetusan potongan audio popular di platform TikTok itu membuktikan kekuatan irama tradisional Melayu apabila digubah semula mengikut selera kontemporari generasi muda.
Kembalikan Keindahan Adab Dan Budi Bahasa
Diraikan dalam satu majlis pelancaran di XO House Sdn. Bhd. pada 11 September lalu , Jung Jung Inai bukan sekadar menawarkan rentak pop ceria yang menghiburkan, malah sarat dengan mesej murni serta nilai kemanusiaan.

Iman Troye & Asslahierah hidupkan semula melodi tradisional menerusi ‘Jung Jung Inai’.
Karya ciptaan Amirul Azhar, Amir Firdaus serta Iman Alyssa itu mengadunkan melodi Melayu klasik yang menyuntik ingatan buat pendengar agar sentiasa menjaga adab, budi bahasa, berhati-hati dalam tindakan, serta mengambil iktibar daripada perjalanan hidup.
Sentuhan penerbitan muzik yang dikendalikan oleh Adib Hamdi bersama Amirul Azhar ini berjaya merapatkan jurang antara pendengar pelbagai lapisan umur menerusi gabungan vokal dinamik Iman Troye dan rakan duetnya, Asslahierah.
Ini merupakan kolaborasi kedua mereka selepas pernah digabungkan menerusi lagu Jemput Jemput Raya pada Mac lalu.

Iman Troye raih pengiktirafan XO House Diamond Artist setelah berjaya kutip jumlah keseluruhan RM2.5 juta sepanjang tahun 2025.
Pengiktirafan ‘Diamond Artist’ Hasil Penjualan RM2.5 Juta
Majlis pelancaran berkenaan turut menjadi detik manis buat Iman Troye apabila beliau secara rasmi diiktiraf sebagai Diamond Artist oleh label pengurusan XO House. Pengiktirafan tersebut diberikan susulan kejayaan luar biasa penyanyi itu menjana pendapatan komersial berjumlah RM2.5 juta sepanjang tahun 2025.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif XO House, Adib Hamdi meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian anak didik pertamanya itu yang kini genap enam tahun bertapak dalam industri seni tempatan.
“Iman mempunyai tempat yang sangat istimewa kerana dia merupakan artis pertama yang kami tandatangani ketika memulakan perjalanan ini. Melihat perkembangan dia daripada awal kerjaya sehingga mencapai hasil RM2.5 juta pada tahun 2025 merupakan sesuatu yang amat membanggakan,” katanya.
Bagi penggemar muzik tempatan, Jung Jung Inai kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala pelancaran rasmi video muziknya dijangka terus menyemarakkan lagi fenomena irama tradisional berwajah baharu ini.
