Ikuti Kami:

Graduan Diploma Perakaunan KPTM Kini Berdaya Saing Tinggi, Dapat Pengiktirafan MICPA

Graduan Diploma Perakaunan KPTM Kini Berdaya Saing Tinggi, Dapat Pengiktirafan MICPA

Foto (2 dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Tuan Haji Radzuan Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif MICPA, Puan Seri Idawaty Mat Zain (3 dari kanan) menandatangani MOU kerjasama strategik KPTM & MICPA.

BANGI – Prospek kerjaya dan akademik bagi graduan Diploma Perakaunan (AA101) Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) kini melonjak ke tahap baharu susulan pengiktirafan rasmi daripada badan profesional terkemuka, Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

Langkah ini memperkasakan graduan KPTM dengan laluan pantas dan keyakinan tinggi untuk melangkah terus ke alam pekerjaan atau meneruskan pengajian ke peringkat profesional sejurus tamat diploma.

Pengiktirafan serta pemeteraian kerjasama strategik tersebut dimeterai dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Besar KPTM Bangi hari ini, sekali gus membuktikan komitmen KPTM Sdn. Bhd. (KPTMSB) dalam memastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan sentiasa dinamik serta selari dengan kehendak industri semasa.

Foto (1 dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif MICPA, Puan Seri Idawaty Mat Zain menyerahkan surat pengiktirafan MICPA Diploma Perakaunan KPTM kepada Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Tuan Haji Radzuan Razali. Majlis turut disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin (2 dari kiri): Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Sdn. Bhd., Tuan Haji Yahaya Sani (2 dari kanan)

Pengiktirafan ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada para pelajar dari segi pembangunan akademik dan latihan profesional, malah dijangka meningkatkan keyakinan ibu bapa serta menarik minat lebih ramai lepasan sekolah untuk menjadikan bidang perakaunan di KPTM sebagai pilihan utama laluan pendidikan mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali, gabungan elemen akademik dan pendedahan industri merupakan kunci utama dalam melahirkan graduan yang sedia berkhidmat.

“Kita mahu graduan KPTM bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai keyakinan untuk melangkah ke peringkat profesional dan bersedia memenuhi tuntutan industri yang sentiasa berubah. Kerjasama seperti ini menjadi sebahagian daripada ekosistem yang kita bina untuk mencapai aspirasi tersebut,” tegas beliau.

Foto Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Sdn. Bhd., Tuan Haji Yahaya Sani

“Pengiktirafan ini bertujuan meningkatkan kualiti kursus dan membina laluan kerjaya supaya para lepasan diploma dapat menjadi competent workforce dalam industri,” kata Tuan Haji Yahaya Sani ketika ditemui rakan media

Kerjasama strategik antara KPTM dan MICPA memberikan impak yang sangat signifikan, terutamanya dalam menyediakan laluan profesional yang lebih jelas bagi memudahkan graduan diploma melanjutkan pengajian ke peringkat perakaunan yang lebih tinggi. Selain itu, inisiatif ini berjaya merapatkan jurang industri dengan memastikan sukatan pelajaran yang ditawarkan sentiasa relevan serta selari dengan tuntutan pasaran kerja semasa. Pada masa sama, ia turut membuka ruang kolaborasi yang lebih luas dalam aspek pembangunan akademik menerusi perkongsian kepakaran secara berterusan antara kedua-dua pihak.

Selain tetamu kehormat, majlis ini turut dihadiri kira-kira 100 tetamu jemputan, termasuk kepimpinan tertinggi MICPA dan pengurusan KPTMSB.

Inisiatif ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan KPTMSB sebagai institusi pendidikan pilihan yang konsisten memperkasa kualiti akademik, hubungan industri, dan kebolehpasaran graduannya.

Loading...