Siti Nurhaliza Mendahului 14 Pencalonan AIM25, Barisan Artis Baharu Turut Menonjol
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 Sep 2026 9:08 am
Foto Antara Top 5 finalis AIM25 diumumkan di sidang media yang diadakan baru-baru ini.
KUALA LUMPUR — Saingan Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) dijangka berlanjutan dengan sengit apabila pentas pengiktirafan muzik tertinggi tanah air itu menyaksikan dominasi penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, disamping kebangkitan bertenaga barisan artis generasi baharu.

Berdasarkan senarai Lima Finalis Akhir yang diumumkan, Siti Nurhaliza mendahului persaingan dengan 14 pencalonan keseluruhan. Pengaruh beliau terus kukuh menerusi projek album Gema Bumantara yang tercalon bagi Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik, selain membolot empat daripada lima tempat dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik menerusi lagu Kesuma, Rencong, Hujung Bumi, dan Pesanan Buat Diri. Beliau turut bersaing bagi Vokal Wanita Terbaik dan tiga kategori kolaborasi antarabangsa.
Mengiringi dominasi penyanyi veteran itu, Aisha Retno muncul sebagai pencabar muda paling menonjol dengan lapan pencalonan. Selain tercalon dalam Vokal Wanita Terbaik menerusi Tak Adil dan Album Terbaik ([RE.HAB]), Aisha turut membuktikan versatilitinya apabila namanya tercatat sebagai pencipta lagu bagi dua karya nyanyian Siti Nurhaliza yang turut mara ke peringkat akhir.
Sementara itu, Mimifly mengumpul enam pencalonan menerusi kekuatan eksperimen muzik, visual, dan susunan audio. Dua karya beliau, Serumpun dan Temberang, masing-masing dicalonkan bagi Video Muzik Terbaik, selain saingan dalam kategori Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik serta Lagu Etnik Terbaik menerusi lagu Nara.
Komposer dan penyanyi Hael Husaini pula melengkapkan senarai artis paling menyerlah dengan lima pencalonan. Hael mempertaruhkan lagu Alangkah bagi kategori Runut Bunyi Terbaik, Bangkit Malaysia untuk Lagu Perpaduan Terbaik, serta dua lagu kolaborasi bersama Nadeera iaitu Peluk dan Meriah Lain Macam.
Penganjuran AIM25 kali ini bukan sahaja menterjemahkan keutuhan legasi seni Siti Nurhaliza, malah menjadi bukti kepelbagaian genre dan warna muzik tempatan yang kini dipelopori generasi baharu. Malam kemuncak kelak dijangka bakal menjadi medan penentu penting buat industri muzik tanah air.
