Eksperimen AI dan Kalam Suci: Pak Nil Pentaskan Revolusi Harmoni K4LAM Menerusi ‘MUSA’
- oleh Editor MYBUZZ
- 27 Aug 2026 10:54 am
KUALA LUMPUR — Apabila arus kecerdasan buatan (AI) mula menerobos dan menggoncang paksi industri kreatif tempatan, penghibur legenda yang juga Pengacara Nombor 1 Malaysia, Datuk Aznil Haji Nawawi memilih untuk tidak sekadar menjadi pemerhati pasif di zon selesa. Menginjak usia 63 tahun dengan portfolio mekar lebih tiga dekad meliputi bidang pengacaraan, lakonan, penyampaian radio, penerbitan dan nyanyian, sosok yang mesra disapa Pak Nil ini melakar sejarah baharu apabila merealisasikan impian lama menerusi penubuhan kumpulan vokal lelaki baharu, K4LAM, berserta pelancaran single sulung bertajuk ‘MUSA’.
Langkah berani ini bukan sekadar kemunculan kumpulan vokal biasa, sebaliknya sebuah penerokaan artistik yang mengintegrasikan teknologi AI bersama keindahan harmoni suara manusia dan bait-bait terjemahan Al-Quran. Menerusi bimbingan penerbit berprofil tinggi, AG Coco, eksperimen ini membuktikan bahawa teknologi canggih mampu dijinakkan untuk melahirkan karya spiritual yang bernilai tinggi tanpa mengesampingkan etika penciptaan.
Menjelaskan rasional di sebalik keputusan eksperimental ini, Pak Nil menegaskan bahawa evolusi teknologi dalam dunia muzik bukanlah sesuatu yang asing. Daripada zaman rakaman analog, penggunaan instrumentasi elektronik, synthesizer, sehinggalah ke era produksi digital berasaskan komputer, seni muzik sentiasa bergerak seiring dengan alat zaman.
“Bagi saya, AI seperti satu lagi alat dalam dunia muzik. Kita sudah lama menggunakan teknologi untuk membantu menghasilkan muzik. Bezanya sekarang, alat itu semakin pintar dan mampu memberi lebih banyak kemungkinan,” ujar Pak Nil.
Beliau menyifatkan persepsi skeptikal bahawa AI bakal mematikan kreativiti manusia sebagai pandangan yang kurang tepat. Sebaliknya, keupayaan dan hala tuju AI bergantung sepenuhnya kepada bagaimana pengkarya mengemudi teknologi tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab.
“AI ini bukan datang untuk menggantikan manusia. Ia cuma membuka satu lagi ruang untuk manusia mencuba sesuatu yang sebelum ini mungkin mengambil masa atau memerlukan pendekatan yang berbeza. AI adalah alat dan yang menentukan bagaimana alat itu digunakan tetap manusia. Apa yang penting bukan semata-mata siapa atau apa yang menghasilkan bunyi itu. Persoalannya bagaimana manusia menggunakan teknologi tersebut dan bagaimana kita bertanggungjawab terhadap hasilnya,” tegas Pak Nil.
Perkara yang paling menyentuh jiwa dan membezakan single MUSA daripada mana-mana karya pasaran masa kini adalah dimensi kerohanian pada liriknya. Eksplorasi melodi dan suasana muzik yang dibangunkan Pak Nil menerusi penulisan prompt AI disandingkan dengan bait-bait indah terjemahan Al-Quran, khususnya daripada Surah Taha (ayat 2–11) dan Surah An-Naml (ayat 9–11).
Lirik tersebut mengimbau iktibar pengutusan Nabi Muhammad SAW serta kisah mukjizat Nabi Musa AS sewaktu baginda melihat suluh api dan peristiwa tongkat bertukar menjadi ular yang ganas:
Petikan Terjemahan Surah Taha (Ayat 2-4, 9-10):”Tidak ALLAH turunkan Al-Quran ini kepada NABI Muhammad supaya DIA menjadi susah, melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah… Dan adakah sampai kepadamu kisah Musa? Ketika ia melihat api, lalu ia berkata kepada keluarganya: Tunggulah, sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawakan kepadamu suluh api dari sana…”
Petikan Terjemahan Surah An-Naml (Ayat 9-10):”Sesungguhnya Dia adalah Allah, Tuhan sekelian alam. Dan lemparkanlah tongkatmu. Maka ketika ia melihat tongkat itu bergerak-gerak seperti seekor ular yang ganas, ia berpaling ke belakang sambil lari dan tidak menoleh lagi. Wahai Musa, janganlah takut!”
Kombinasi naratif ketuhanan ini dipasakkan ke dalam bentuk harmoni vokal yang dirakam secara intim di studio Kamar Seni milik AG Coco, sekali gus memastikan sentuhan jiwa manusia kekal menjadi nadi utama karya ini.
Di tengah-tengah kehangatan isu hak cipta dan pengakuan karya membabitkan teknologi AI, Pak Nil tampil berani memegang prinsip etika yang amat teguh. Beliau secara terbuka enggan mengambil kredit peribadi sebagai pencipta lagu tersebut.
“Saya tidak akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil. Pada saya, soal pengiktirafan itu penting. Kalau kita menggunakan AI dalam proses menghasilkan karya, kita kena jujur tentang bagaimana karya itu terhasil. Kalau kita menggunakan AI untuk membantu menghasilkan sesuatu, kemudian kita ambil seluruh kredit dan mengaku ia ciptaan kita, saya rasa itu juga tidak beretika. Sebab itu saya tidak pernah dan akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil,” katanya telus.
Tambah Pak Nil, MUSA tidak dirancang sebagai karya untuk dipertandingkan. Sebaliknya, ia diteladani sebagai satu ikhtiar dakwah kreatif dan eksperimen sosial yang diharapkan mampu membawa impak spiritual kepada pendengar.
“Saya tahu mungkin ada yang suka dan mungkin ada yang tidak selesa dengan pendekatan ini. Saya terima dengan berlapang dada. Cuma secara peribadi Pak Nil berpendapat, jika teknologi yang ada hari ini boleh kita gunakan untuk membawa seseorang lebih dekat kepada kalam Allah, saya rasa itu sesuatu yang wajar diusahakan. Kalau selepas dengar MUSA, ada yang rasa ingin buka al-Quran, mencari Surah Taha atau Surah An-Naml dan membaca sendiri, bagi saya itu sudah cukup bermakna,” luah Pak Nil.

Foto dari kiri, anggota kumpulan K4LAM Allif Firdaus, Isa Khan, Danny dan Zulhilmi
Kumpulan K4LAM yang dibentuk secara bertahap sejak Februari 2026 merupakan manifestasi visi Pak Nil bagi menampilkan gabungan vokal empat lelaki serba boleh. Selepas Isa Khan menjadi individu awal yang ditemui Pak Nil, tiga lagi anggota dipilih menerusi sesi uji bakat terbuka sebelum disempurnakan oleh sentuhan emas AG Coco iaitu Danny (22, Penghibur dari Rompin), Zulhilmi Zolkefli (28, Pengacara & Warga PERKESO dari Desa Pandan), serta Allif Firdaus (25, Pembikin Filem & Penyanyi dari Selangor).
Kini, single dan video muzik MUSA sudah boleh didengari dan dinikmati khalayak ramai sejak 26 Ogos 2026. Penubuhan K4LAM bukan sahaja melakar penanda aras baharu buat karier 30 tahun Pak Nil, malah membuktikan bahawa penggiat seni tanah air mampu memeluk pemodenan teknologi AI dengan penuh hikmah, beretika, dan berorientasikan mesej suci yang mendalam.
