Ikuti Kami:

Fiza Thomas Lancar EP Peribadi ‘Rayakan Dia’, Tampil Dengan Empat Karya Nukilannya Sendiri

Fiza Thomas Lancar EP Peribadi ‘Rayakan Dia’, Tampil Dengan Empat Karya Nukilannya Sendiri

KUALA LUMPUR – Selepas lebih dekad mengukuhkan nama dalam dunia teater dan lakonan, pelakon serta penyanyi Fiza Thomas kini melakar fasa baharu dalam kerjaya seninya menerusi pelancaran Mini Album (EP) terbaharu berjudul Rayakan Dia.

EP yang menghimpunkan empat buah lagu ini menjadi lebih bermakna apabila kesemua karya tersebut adalah hasil nukilan Fiza sendiri menggunakan nama pena Fitho. Pelancaran ini sekali gus memamerkan sisi seni Fiza yang lebih matang, ceria, dan berani menterjemahkan emosinya ke dalam bentuk muzik.

Daripada Pentas Teater Ke Dunia Muzik

Memulakan langkah seawal dari pentas teater sebelum menempa nama dalam bidang lakonan, Fiza mengakui minatnya terhadap dunia muzik tidak pernah padam. Tahun 2024 menjadi titik tolak penting dalam perjalanan seni Fiza Thomas apabila beliau mula memberi fokus yang lebih serius terhadap pembinaan identiti muziknya.

Langkah tersebut diteruskan dengan pelancaran single berjudul Rasa pada April 2025, sekali gus membuka ruang buat Fiza untuk lebih aktif berkarya bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai penulis lagu. Keberaniannya untuk menghasilkan karya sendiri turut berkembang apabila beliau mula mencipta lagu untuk rakan artis lain, termasuk penyanyi popular, Wany Kayrie.

Perjalanan itu tidak dilalui bersendirian. Fiza mengakui sokongan dan dorongan berterusan daripada sahabat terdekat, khususnya penyanyi Ara Johari, menjadi antara faktor penting yang membakar semangatnya untuk terus melangkah dengan lebih yakin dalam bidang muzik.

Fiza Thomas Lancar EP Peribadi Rayakan Dia, Tampil Dengan Empat Karya Nukilannya Sendiri

Dari pentas lakonan ke dunia muzik, Fiza Thomas berani tampil dengan identiti baharu.

 

Galakan daripada mereka yang percaya terhadap bakat dan potensinya memberi kekuatan buat Fiza untuk terus meneroka sisi kreatifnya sebagai seorang pengkarya.

Dari segi penghasilan karya, Fiza turut menunjukkan evolusi yang ketara dalam mesej dan tema yang dibawakan. Jika karya-karya terdahulu lebih sarat dengan emosi, kerinduan dan kisah-kisah yang menyentuh perasaan, EP Rayakan Dia tampil dengan pendekatan yang jauh lebih ringan, positif dan penuh aura kasih sayang.

Menerusi karya terbaharu ini, Fiza memilih untuk meraikan hubungan, penghargaan dan keindahan menghargai insan yang sentiasa hadir dalam kehidupan, sekali gus memperlihatkan sisi dirinya yang lebih matang dan optimis.

Meraikan Insan Teristimewa & Lagu Siap 20 Minit

Menurut Fiza, konsep “rayakan” yang diangkat tidak hanya tertumpu pada hubungan romantik semata-mata, sebaliknya merangkumi penghargaan kepada sesiapa sahaja yang membawa makna dalam kehidupan.

“Bagi saya, Rayakan Dia adalah tentang meraikan orang yang kita sayang. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan kehidupan sehingga terlupa menghargai mereka yang sentiasa ada. Jadi saya mahu EP ini menjadi satu bentuk perayaan terhadap mereka,” katanya.

Fiza Thomas Lancar EP Peribadi Rayakan Dia, Tampil Dengan Empat Karya Nukilannya Sendiri

“‘Rayakan Dia’ angkat kisah kehidupan, penghargaan dan cinta dari hati.” – Fiza Thomas.

 

Gubahan EP Rayakan Dia turut mendapat sentuhan kolaborasi bersama komposer Fai dan Dari. Menariknya, salah satu lagu ciptaan bersama Dari berjaya disiapkan dalam tempoh singkat sekitar 20 minit sahaja, manakala keseluruhan proses rakaman berlangsung secara penuh kenangan sepanjang bulan Ramadan. Salah satu trek dalam EP ini turut didedikasikan khas buat insan teristimewa dalam hidupnya.

Showcase Khas Bukti Evolusi Seni

Bagi menandakan pelancaran rasmi EP ini, satu majlis Sidang Media Rayakan Dia telah diadakan dan disusuli dengan sebuah showcase khas pada sebelah malam. Menerusi showcase berkenaan, Fiza mendendangkan kesemua empat karya terbaharunya secara langsung sambil berkongsi latar belakang kisah di sebalik setiap lagu.

Persembahan tersebut sekali gus menjadi bukti evolusi dirinya daripada seorang anak teater dan pelakon kepada seorang penyanyi serta penulis lagu yang semakin matang dan berkeyakinan.

Loading...