Ikuti Kami:

Cabaran Menegak Paling Ikonik Malaysia Kembali, KLTRIC2026 Sasar 2,500 Peserta Antarabangsa

Cabaran Menegak Paling Ikonik Malaysia Kembali, KLTRIC2026 Sasar 2,500 Peserta Antarabangsa

KUALA LUMPUR – Acara larian menara paling ikonik dan paling lama bertahan di Malaysia, Turkish Airlines Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2026 (KLTRIC2026) kini kembali dengan lebih gah bagi edisi ke-24.

Bagi penganjuran kali ini, Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Tower) meletakkan sasaran besar untuk menarik rekod penyertaan seramai 2,500 peserta dari 30 buah negara. Acara sukan bertaraf global ini bukan sahaja bakal menguji ketahanan fizikal atlet elit dan peminat kecergasan, malah menjadi serampang dua mata dalam menyokong penuh kempen pelancongan Visit Malaysia 2026.

Cabaran Menegak Paling Ikonik Malaysia Kembali, KLTRIC2026 Sasar 2,500 Peserta Antarabangsa

KL Tower umum edisi Ke-24 KLTRIC2026 dengan garisan penamat baharu di Sky Garden. – Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Hj Othman

 

‘Sky Garden’ Tarikan Penamat Baharu

Mengekalkan tema berinspirasi “Victory is Vertical”, cabaran utama buat para peserta kekal sama, iaitu menakluki 1,608 anak tangga yang cukup mencabar di dalam struktur mercu tanda kebanggaan negara itu. Namun, ‘habuan’ buat penakluk edisi 2026 pastinya lebih manis apabila buat julung kalinya, garisan penamat rasmi perlumbaan dialihkan ke tarikan terbaharu menara berkenaan, iaitu Sky Garden.

Pengenalan garisan penamat baharu ini menjanjikan pengalaman luar biasa buat peserta, di mana mereka akan disambut dengan suasana rimbunan kehijauan serta pemandangan panorama latar langit bandar raya Kuala Lumpur yang menakjubkan sebaik sahaja menamatkan perlumbaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Hj Othman berkata, pengenalan pengalaman baharu ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Menara KL dalam mempromosikan pelancongan sukan.

“Sempena edisi ke-24 acara berprestij ini, kami berharap dapat mengalu-alukan rekod 2,500 peserta untuk merasai pengalaman penamat perlumbaan yang menarik di Sky Garden, sekali gus terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi larian menara terkemuka dunia,” jelas beliau.

Cabaran Menegak Paling Ikonik Malaysia Kembali, KLTRIC2026 Sasar 2,500 Peserta Antarabangsa

Turkish Airlines terus jadi penaja utama KLTRIC2026 untuk tahun kelima berturut-turut. 

 

Sinergi Penaja Perkasa Pelancongan Sukan

Acara berskala besar ini terus mendapat suntikan semangat apabila Turkish Airlines kekal bersetuju menjadi Penaja Utama bagi penganjuran tahun kelima berturut-turut. Naib Presiden Jualan (Timur Jauh) Turkish Airlines, Ümit Develi menyifatkan tajaan tersebut sejajar dengan misi syarikat penerbangan itu untuk membina hubungan bermakna serta menyatukan masyarakat merentasi sempadan dan budaya menerusi kuasa sukan.

Lebih menarik, KLTRIC2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Kumpulan AmBank (AmBank) tampil buat kali pertama sebagai Rakan Perbankan Rasmi. Ketua Komunikasi Korporat & Pemasaran Kumpulan AmBank, Shazman Shahid berkata, penglibatan tersebut mempunyai nilai sentimental memandangkan ibu pejabat mereka di Jalan Raja Chulan terletak bersebelahan sahaja dengan mercu tanda ikonik itu.

6 Kategori Penaklukan

Bagi memastikan acara ini kekal inklusif sebagai acara gaya hidup untuk semua lapisan umur, penganjur telah menetapkan enam kategori utama:

  • Kategori Lelaki Terbuka
  • Kategori Wanita Terbuka
  • Kategori Lelaki Veteran
  • Kategori Wanita Veteran
  • Kategori Lelaki Kanak-Kanak
  • Kategori Perempuan Kanak-Kanak

Selain memburu hadiah wang tunai yang lumayan serta cenderamata eksklusif, keunikan KLTRIC2026 terletak pada penawaran mata berharga bagi carta Towerrunning World Association (TWA) buat pelari elit antarabangsa.

Acara berprestij ini dianjurkan dengan sokongan padu kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), BOMBA, PDRM dan Tourism Malaysia. Aplikasi kecergasan popular, JomRun pula bertindak selaku perunding teknikal rasmi perlumbaan.

Loading...