“Ramai Akan ‘Relate’!” Mariam Saim Kembali Menerusi ‘Sedikit Cahaya’, Sulam Kisah Luka & Harapan
- oleh Editor MYBUZZ
- 28 Jul 2026 3:21 pm
KUALA LUMPUR – Selepas berjaya mencuri perhatian peminat muzik tanah air menerusi karya-karya beremosi seperti Bulan, Puaskah, dan Cinta Gila, penyanyi serta komposer berkaliber, Mariam Saim, kini kembali melangkah gagah menerusi single terbaharu berjudul Sedikit Cahaya.
Diterbitkan di bawah naungan Alternate Records & Talents, karya penuh emosi ini turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) bagi drama Tonton Originals, Neraka Yang Terhijab.
Sentuhan Komposer Masyhur, Bawa Naratif Dikhianati & Bangkit Semula
Hasil nukilan komposer dan penulis lirik tersohor John Jeeves bersama Firdaus Rahmat, Sedikit Cahaya membawa penceritaan emosi yang sangat mendalam dan dijangka rapat dengan jiwa ramai pendengar.
Lagu ini diangkat daripada perjalanan watak heroin drama berkenaan yang menempuh pelbagai ujian hidup—dikhianati, terluka, dan hilang arah—namun tetap gigih mencari sekelumit sinar harapan untuk terus bertahan.
Mengulas mengenai penghayatan lagu tersebut, Mariam mengakui membayangkan kesakitan dan perjuangan watak utama sewaktu mendalami seni kata lagu berkenaan.
“Bila saya hayati lagu ini, saya membayangkan diri saya sebagai watak heroin yang melalui pelbagai kegelapan. Menepati dengan tajuknya ‘Sedikit Cahaya’, kadang-kadang kita tak perlukan cahaya yang terlalu terang, cukup sedikit sahaja untuk memberi kekuatan meneruskan hidup sebagai lambang harapan,” luah Mariam.

Evolusi Vokal & Refleksi Perjalanan Seni
Bagi Mariam, karya ini bukan sekadar lagu OST biasa, sebaliknya membawa refleksi peribadi terhadap perjalanan seninya sendiri, terutamanya selepas berpengalaman melangkah ke fasa Semifinal Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) menerusi lagu Puaskah.
Bekerjasama di bawah bimbingan John Jeeves dan Firdaus Rahmat di studio, Mariam mempamerkan evolusi penyampaian vokal yang lebih matang. Beliau tidak lagi hanya bersandarkan kepada kekuatan vokal semata-mata, sebaliknya lebih menekankan aspek penceritaan dan luahan jiwa yang mendalam.
“Semasa rakaman, saya bukan sekadar menyanyi sebagai Mariam atau watak dalam drama tetapi menyampaikan setiap lirik berdasarkan pengalaman dan harapan yang saya sendiri pernah rasakan. Sokongan keluarga, rakan-rakan, pasukan, pihak media dan peminat adalah antara penyumbang terbesar ‘Sedikit Cahaya’ dalam hidup saya,” tambah beliau.
MV ‘One Continuous Shot’ Arahan Boboy Jehori
Bagi melengkapkan penceritaan visual lagu Sedikit Cahaya, muzik video (MV) karya tersebut mendapat sentuhan kreatif daripada pengarah Boboy Jehori. Mengangkat konsep yang minimalis tetapi sarat dengan makna, MV ini direka untuk membawa penonton menyelami perjalanan emosi daripada kegelapan menuju kepada sinar harapan, selari dengan mesej yang dibawa menerusi lagu tersebut.
Menariknya, MV ini menggunakan teknik one continuous shot atau satu syot berterusan tanpa henti dari awal hingga akhir. Pendekatan ini dipilih bagi memastikan aliran emosi dan penyampaian Mariam Saim dapat dirasai secara berterusan tanpa gangguan. Teknik tersebut memerlukan tahap fokus, ketelitian dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak kerana sebarang kesilapan akan menyebabkan keseluruhan babak perlu dirakam semula dari permulaan.
Dari sudut visual pula, Boboy Jehori menggunakan simbolik warna bagi memperkukuhkan penceritaan lagu. Tona teal gelap (biru kehijauan) mendominasi bahagian awal muzik video sebagai gambaran kesunyian, kesedihan dan perjalanan melalui fasa kegelapan. Seiring perkembangan naratif, pencahayaan kemudiannya beralih kepada rona kuning yang lebih terang, melambangkan harapan, kekuatan dan peluang kedua yang menjadi inti pati utama lagu Sedikit Cahaya.
Gabungan teknik penggambaran yang unik serta penggunaan simbolik warna yang teliti menjadikan muzik video ini bukan sekadar sebuah visual pelengkap lagu, tetapi juga sebuah karya penceritaan yang mampu menghubungkan penonton dengan mesej tentang ketabahan, harapan dan keberanian untuk bangkit semula selepas melalui fasa yang sukar dalam kehidupan.
Pengarah Boboy Jehori menjelaskan bahawa pendekatan itu dipilih supaya penonton dapat merasai seolah-olah sedang berjalan bersama Mariam sepanjang fasa keluar daripada kegelapan. Lagu dan muzik video Sedikit Cahaya kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman digital utama seperti Spotify dan saluran YouTube.
