Siapa Raja Drama Sebenar? ‘Men of Tonton’ Akhirnya Bongkar Jawapannya!
- oleh Editor MYBUZZ
- 28 Jul 2026 4:51 pm
KUALA LUMPUR – Persoalan mengenai siapa sebenarnya yang menjadi nadi paling kukuh dalam sesebuah naskhah drama—sama ada hero yang disayangi, antagonis yang dibenci, atau antihero yang sarat konflik—akhirnya bakal terjawab menerusi projek terbaharu TV3, Men of Tonton.
Projek video sinematik khas ini menghimpunkan lima karakter lelaki ikonik daripada lima drama berbeza untuk bertembung dalam sebuah ruang misteri bagi mempertahankan prinsip watak masing-masing.
Pertembungan 5 Prinsip & Watak Ikonik
Bukan pertempuran fizikal atau aksi mendebarkan yang disajikan, sebaliknya Men of Tonton memperlihatkan lima watak ini bertelingkah serta berdebat demi membuktikan siapakah ramuan sebenar yang menjadikan sesebuah drama itu terus melekat dalam ingatan penonton.
Pertembungan hebat ini menampilkan barisan pelakon berkaliber tinggi bersama watak-watak fenomena mereka:
- Syed Mirza (Lelaki Itu) – Dato’ Adi Putra: Watak tenang namun penuh konflik yang berdepan pengkhianatan dan keputusan sukar, menguji simpati serta persepsi penonton sama ada dia sekadar mangsa keadaan atau individu yang perlu bertanggungjawab.
- Iman (Keluarga Itu) – Datuk Rosyam Nor: Membawa watak ketua keluarga dan tokoh tahfiz yang dihormati, namun menyembunyikan peribadi manipulatif yang sanggup memusnahkan keluarganya sendiri.
- Ustaz Irfan (Doa Yang Terlindung) – Firdaus Karim: Ikon agama dan pendakwah terkenal yang mana imej sempurnanya mula goyah apabila satu demi satu kebenaran membongkarkan realiti sebaliknya.
- Nadim Eijaz (Hilang Dalam Rindu) – Jazmy Juma: Lelaki yang terperangkap antara bayangan rahsia masa lalu, emosi mendalam, serta peluang untuk memulakan lembaran baharu.
- Qayyim (Cinta Itu) – Aeril Zafrel: Pendakwah muda berpendidikan PhD yang teguh berprinsip, namun pertembungan antara cinta dan realiti akhirnya melahirkan seorang antihero yang meninggalkan luka emosi.
Siapa Sebenarnya ‘Nadi’ Drama?
Menerusi naskhah Men of Tonton, tiada seorang pun daripada karakter ini yang mahu mengaku kalah. Ada yang berpegang bahawa kuasa adalah punca segala konflik, ada yang memanfaatkan ketakutan sebagai senjata, manakala yang lain yakin bahawa unsur pengkhianatan, obsesi, dan cinta adalah ‘ramuan rahsia’ yang menjadikan sesebuah kisah benar-benar meninggalkan kesan.
Bagi peminat tegar drama tempatan yang ingin menyaksikan pertembungan eksklusif ini serta menentukan sendiri siapakah ‘Raja Drama’ pilihan anda, video penuh Men of Tonton kini boleh ditonton menerusi platform Tonton dan media sosial rasmi TV3. Penonton juga dijemput menyuarakan pandangan serta watak pilihan masing-masing menerusi akaun rasmi Instagram @TV3Malaysia dan @dramasangat.





