TTMM 2 Buka Tirai: Jamilulhayat & Hussain Ungguli Minggu Pertama, Pengurus & Artis Mula Tunjuk Taring!
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 Apr 2026 2:39 pm
SHAH ALAM – Program realiti hiburan sensasi, Talk To My Manager Musim 2 (TTMM 2) kini kembali menggegarkan pentas untuk musim kedua! Pada konsert minggu pertama yang berlansung malam tadi di Auditorium MBSA, Shah Alam, sepuluh pasangan pengurus dan artis naungan mereka memulakan langkah cemerlang menerusi tugasan bertemakan “Aku Tanya Apa Khabar”. Tema pengenalan ini memberi ruang eksklusif kepada setiap artis untuk membuat kemunculan sulung serta mempamerkan kehebatan vokal dan gaya persembahan masing-masing di hadapan juri.
Malam pembukaan TTMM 2 yang penuh debaran malam tadi dikemudi oleh hos popular tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi (Paknil) dan telah diadili secara teliti oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada juri tetap, Dato AC Mizal dan Datuk Syafinaz Selamat yang bertindak sebagai juri menggantikan Che Puan Sarimah Ibrahim yang sedang bercuti. Kerusi panas juri turut diserikan dengan kehadiran selebriti terkenal, Bella Astillah selaku juri jemputan.

Berdasarkan keputusan rasmi minggu pertama, persaingan sengit mula dirasai apabila setiap pasangan mempamerkan taring masing-masing. Gandingan Jamilulhayat dan Hussain cemerlang memukau pihak juri menerusi penghayatan mendalam lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian asal Hafiz Suip. Persembahan berbisa itu melayakkan mereka menduduki takhta tangga pertama dengan kutipan markah tertinggi sebanyak 81.33%.

Mengekori rapat di kedudukan kedua adalah pasangan Dato’ A. Aida dan Azeva yang berjaya membawa kelainan menerusi lagu Sejiwa dendangan kumpulan Spring, sekali gus mengutip markah sebanyak 79.67%. Tempat ketiga pula menjadi milik Ani Maiyuni dan Viviana (75.67%) yang memanaskan pentas dengan persembahan medley bertenaga lagu On the Floor (JLO ft Pitbull) dan Senorita (Syamsul Yusof feat DAC & Shuib).
Pasangan sensasi yang sentiasa mencuri tumpuan, Dato’ Sri Vida dan Cik B tampil berani dan unik membawakan lagu hit antarabangsa Beggin’ daripada Maneskin, meletakkan mereka selesa di kedudukan keempat dengan 74.33%. Melengkapkan senarai Top 5 ialah Dato’ Fazley dan Fariedz Fazley (72.00%) yang menyanyikan lagu Drunk Text nyanyian Henry Moodie.
Walau bagaimanapun, nasib berbeza buat beberapa pasangan yang terpaksa akur berada di zon bahaya. Nana Mahazan dan Althea menduduki tangga tercorot (60.67%) selepas mempertaruhkan lagu Toxicity (System Of A Down). Turut berada di kedudukan tiga terbawah ialah Pak Azad dan Amarra (63.33%) menerusi lagu Gabriella (Katseye) , serta Linda Jasmine dan Ratu (64.67%) yang membawa lagu Firasat (Marcell Siahan).
GALERI – KONSERT TTMM MINGGU 1
Berikut adalah senarai penuh markah dan kedudukan peserta Talk To My Manager (TTMM 2) bagi konsert minggu pertama:
- 1. Jamilulhayat & Hussain: 81.33% (Bahagiamu Deritaku)
- 2. Dato’ A. Aida & Azeva: 79.67% (Sejiwa)
- 3. Ani Maiyuni & Viviana: 75.67% (Medley: On the Floor & Senorita)
- 4. Dato’ Sri Vida & Cik B: 74.33% (Beggin’)
- 5. Dato’ Fazley & Fariedz Fazley: 72.00% (Drunk Text)
- 6. Safura & Kim Khairii: 69.67% (Medley: Bukan Lupa Tapi Tak Ingat & Kau Dan Aku)
- 7. Adira & Anggrek: 65.33% (Pematah Hati)
- 8. Linda Jasmine & Ratu: 64.67% (Firasat)
- 9. Pak Azad & Amarra: 63.33% (Gabriella)
- 10. Nana Mahazan & Althea: 60.67% (Toxicity)
Adakah kedudukan ini akan kekal menjelang konsert minggu hadapan? Sama-sama kita nantikan kejutan dan strategi baharu daripada setiap ‘Manager’ dan artis mereka!












