Syurga Baharu Bali! Novotel Ubud Kini Dibuka, Tawar Percutian Mewah Dampingi Alam Semula Jadi
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 Apr 2026 8:21 pm
BALI – Berita baik buat para pencinta percutian tropika dan ketenangan! Novotel secara rasminya telah membuka pintu destinasi terbaharunya, Novotel Bali Ubud Resort. Penginapan serba mewah ini direka khusus buat pelancong yang ingin menyegarkan kembali tubuh dan minda, berlatarbelakangkan keindahan alam semula jadi antara yang paling memukau di dunia.
Terletak secara strategik di tengah-tengah landskap hutan tropika dan lembah yang mendamaikan, resort ini hanya mengambil masa sekitar 30 minit pemanduan dari kesibukan pusat bandar Ubud, kawasan pemandangan indah Kintamani, serta Gunung Batur yang ikonik.
Berteraskan falsafah ‘Longevity Everyday’ (Kesejahteraan Berpanjangan Setiap Hari), Novotel Bali Ubud Resort menerapkan konsep percutian seimbang di mana amalan harian seperti makan makanan berkhasiat, tidur yang cukup, pergerakan fizikal, dan hubungan sosial disatukan demi gaya hidup yang lebih sihat.

Estetika Bali & Keselesaan Moden
Resort ini mempertaruhkan 159 buah bilik yang masing-masing dilengkapi balkoni peribadi, menyajikan pemandangan memukau hutan menghijau atau kolam renang infiniti. Sentuhan kesenian hasil tangan anak jati Bali, penggunaan tekstur semula jadi, serta rekaan dalaman yang mendamaikan mencipta suasana percutian yang selesa dan bertenaga. Bagi percutian keluarga atau penginapan jangka masa panjang, ruang yang lebih besar dan fleksibel turut disediakan.
Dari segi gastronomi, para tetamu boleh memanjakan deria rasa di restoran Siralada. Mengambil inspirasi daripada perkataan Bali yang bermaksud garam dan lada, restoran ini menghidangkan gabungan masakan warisan tradisional bersama rona rasa antarabangsa dan pengaruh Asia. Untuk suasana yang lebih santai, The Social Hub di lobi utama merupakan lokasi sempurna untuk menikmati snek berkhasiat dan minuman segar.

Sarat Dengan Aktiviti Eksplorasi Alam
Bukan sekadar tempat berehat, tetamu boleh meneroka pelbagai aktiviti menarik termasuklah berbasikal merentas perkampungan, mendaki Gunung Batur untuk melihat matahari terbit, meredah jeram (water rafting), eksplorasi air terjun, sehinggalah kepada kelas tarian Bali dan bengkel gubahan Kwangen. Aktiviti harian seperti yoga dan meditasi turut ditawarkan buat mereka yang mencari ketenangan rohani.
Menariknya, resort ini bakal melancarkan Vimala Pavilion tidak lama lagi, yang merupakan satu-satunya ‘chapel’ atau dewan kaca di Ubud. Menjanjikan panorama hutan 360 darjah, ia pastinya bakal menjadi lokasi idaman untuk majlis perkahwinan dan acara eksklusif.
Sejajar dengan kempen kelestarian alam sekitar, Novotel Bali Ubud turut menghentikan penggunaan plastik sekali guna dan menyokong penuh amalan mesra alam. Keunikan resort ini turut diserlahkan melalui penggunaan perabot serta hiasan dalaman hasil sentuhan pelukis dan tukang kayu tempatan.

Destinasi Wajib Kunjung
Ketua Pegawai Operasi (Bahagian Premium, Skala Menengah & Ekonomi) Accor Asia, Garth Simmons berkata, pelancong masa kini semakin mendahagakan keseimbangan serta hubungan autentik dengan destinasi yang dilawati.
“Dengan pembukaan Novotel Bali Ubud Resort, kami membawa pendekatan kontemporari ini ke salah sebuah lokasi yang paling kaya dengan budaya dan inspirasi alam semula jadi di dunia,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Novotel Bali Ubud Resort, Rudi Antoso, mengalu-alukan kedatangan tetamu untuk merasai sendiri percutian yang disifatkan sebagai ‘syurga’ pertemuan antara ketenangan dan jiwa sebenar Bali.
“Kami gembira dapat mengalu-alukan tetamu ke Novotel Bali Ubud Resort, sebuah syurga di mana ketenangan bertemu dengan jiwa Bali. Pasukan kami telah merangka pengalaman yang menggabungkan kesejahteraan bermakna, masa keluarga yang berkualiti, dan budaya pulau yang meriah,” jelasnya.
GALERI – NOVOTEL BALI UBUD RESORT
Bersempena dengan pembukaan rasminya, Novotel Bali Ubud Resort menawarkan kadar promosi istimewa bermula daripada IDR 2,300,000++ untuk satu bilik (Bilik Superior) semalam, termasuk sarapan pagi untuk dua orang. Tawaran ini sah untuk tempahan yang dibuat sehingga 30 April 2026 bagi penginapan sehingga 30 Jun 2026.Untuk maklumat lanjut atau tempahan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi https://all.accor.com/hotel/A222.
























