Ikuti Kami:

Orkestra Filharmonik Malaysia Raikan Warisan Muzik Biduanita Negara Sharifah Aini

Orkestra Filharmonik Malaysia Raikan Warisan Muzik Biduanita Negara Sharifah Aini

KUALA LUMPUR – Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dengan bangganya bakal menganjurkan sebuah konsert istimewa bertemakan A Tribute to Sharifah Aini bagi meraikan legasi seni suara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini. Persembahan gah ini dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu, 6 Jun 2026, tepat jam 8.00 malam bertempat di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP).

Walaupun Biduanita Negara itu telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2014, karya dan keunggulan vokal beliau yang luar biasa terus mekar di ingatan peminat dan industri muzik tempatan. Sepanjang kerjaya gemilangnya, penyanyi yang turut mendapat julukan ‘anak emas EMI’ ini telah merakamkan sekitar 700 buah lagu serta menghasilkan lebih 100 buah album, melayakkan beliau meraih jualan bertaraf Emas dan Platinum.

Orkestra Filharmonik Malaysia Raikan Warisan Muzik Biduanita Negara Sharifah Aini

Di bawah pimpinan konduktor muzik berkaliber, Ahmad Muriz Che Rose, konsert ini dirancang secara teliti bagi mencerminkan setiap sisi seni beliau. Penonton bakal disajikan dengan kehebatan diskografi Sharifah Aini yang merangkumi pelbagai genre termasuk pop, balada, tradisional, lagu filem, dan juga Inggeris.

Bagi merealisasikan malam penuh nostalgia ini, empat penyanyi hebat telah diberi penghormatan untuk beraksi, iaitu penyanyi veteran Dato’ Khadijah Ibrahim dan Salamiah Hassan, bersama-sama dengan Asmidar serta Shiha Zikir.

Orkestra Filharmonik Malaysia Raikan Warisan Muzik Biduanita Negara Sharifah Aini

Dato’ Khadijah Ibrahim akan membuka tirai penghormatan dengan rangkaian lagu yang sarat emosi dan nostalgia. Beliau dijadualkan mempersembahkan Hapuslah Airmatamu dan Kudaku Lari, sebelum meneruskan persembahan menerusi sebuah medley istimewa yang menggabungkan Kau Tinggi Di Awan Biru, Terbang Helang dan Rindu, sekali gus menzahirkan kekuatan vokal dan interpretasi veteran yang terus relevan merentas zaman.

Orkestra Filharmonik Malaysia Raikan Warisan Muzik Biduanita Negara Sharifah Aini

Salamiah Hassan pula bakal membawa penonton menyusuri kenangan indah menerusi alunan lagu Kenang Daku Dalam Doamu dan Tiada Maaf Bagimu. Persembahan beliau akan diteruskan dengan sebuah medley Inggeris yang menggabungkan lagu malar segar Forever And Ever, I Have A Dream serta Will You Still Love Me Tomorrow, menjelmakan keserba bolehan Sharifah Aini yang turut menyerlah dalam lagu-lagu antarabangsa.

Orkestra Filharmonik Malaysia Raikan Warisan Muzik Biduanita Negara Sharifah Aini

Asmidar akan memukau Dewan Filharmonik PETRONAS dengan persembahan penuh variasi, bermula dengan lagu ikonik Seri Dewi Malam. Beliau turut menyampaikan medley tradisional yang menghimpunkan Di Pinggir Kayangan, Sayang Musalmah dan Gunung Banang, diikuti medley pop Oh Di Mana, Surat Dari Seberang serta Yang Ditunggu Tak Tiba, menampilkan keindahan melodi dan kepelbagaian genre yang pernah mengangkat nama Sharifah Aini.

Orkestra Filharmonik Malaysia Raikan Warisan Muzik Biduanita Negara Sharifah Aini

Sementara itu, Shiha Zikir bakal memberikan penghormatan penuh makna kepada mentornya melalui lagu Mawar Putih Untuk Mama dan Bunga Tanjung. Lagu Bunga Tanjung khususnya pernah digambarkan oleh majalah Asean Review pada tahun 1977 sebagai sebuah karya yang sukar, namun berjaya dibawakan oleh Sharifah Aini dengan penuh sensitiviti dan keyakinan—suatu warisan vokal yang kini dihidupkan kembali dengan sentuhan generasi baharu.

Orkestra Filharmonik Malaysia Raikan Warisan Muzik Biduanita Negara Sharifah Aini

Menariknya, kesemua naskhah ini telah diberi sentuhan gubahan khas untuk MPO oleh pemuzik ternama seperti Azhad Sulaiman, Shahhakam Mokhtar, Jenny Chin, Ilham Subri, Luqman Aziz, dan Ahmad Muriz sendiri, menjanjikan interpretasi segar yang belum pernah didengari.

Peminat muzik yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan konsert penghormatan penuh bersejarah ini di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) boleh mula mendapatkan tiket mengikut kategori yang ditawarkan. Persembahan istimewa ini dijangka menjadi malam penuh nostalgia yang mengangkat legasi unggul Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini.

Harga tiket ditawarkan dalam beberapa kategori bagi memenuhi keperluan penonton. Tiket Premium dijual pada harga RM399, diikuti kategori A Reserve berharga RM349, B Reserve pada RM299, dan C Reserve dengan harga RM249.

Bagi penonton yang menginginkan pengalaman lebih eksklusif, tiket Suite turut disediakan dengan harga RM449 atau RM499 seorang, menjanjikan keselesaan dan pemandangan terbaik sepanjang konsert berlangsung.

Urusan pembelian tiket boleh dilakukan di Box Office Dewan Filharmonik PETRONAS mengikut waktu operasi yang ditetapkan. Box Office beroperasi dari Selasa hingga Sabtu, bermula 10.30 pagi hingga 6.30 petang, serta dibuka semula pada 9.00 malam khusus pada malam persembahan. Pada hari Ahad, operasi bermula dari 12.00 tengah hari hingga waktu persembahan, manakala Box Office ditutup pada hari Isnin dan Cuti Am, kecuali sekiranya terdapat konsert berjadual.

Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, pembelian tiket boleh dibuat melalui telefon di 03-2331 7007, atau menerusi emel boxoffice@dfp.com.my. Maklumat lanjut mengenai konsert dan program MPO juga boleh didapati melalui laman web rasmi www.mpo.com.my.

Loading...