JIM Berjaya Berkas Suspek Kelarian Penjara Sungai Buloh
- oleh Editor MYBUZZ
- 19 Apr 2026 11:42 pm
KUALA LUMPUR — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai merupakan suspek kelarian dari Penjara Sungai Buloh dalam satu operasi khas yang dijalankan pada 18 April lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria Shaaban berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia selepas enam hari risikan intensif dijalankan.
Menurut beliau, operasi tersebut turut melibatkan perkongsian maklumat risikan daripada Kedutaan Pakistan bagi mengesan lokasi persembunyian suspek yang dipercayai bersembunyi di sekitar kawasan Jalan Gombak Lama, Selangor.
“Pasukan operasi berjaya mengesan suspek di KM 24, Batu 14, Jalan Gombak Lama. Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Ketika serbuan dilakukan, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh pasukan operasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku meloloskan diri ketika turun daripada trak polis pada 9 April lalu. Sepanjang tempoh tujuh hari bersembunyi, dia dikatakan berlindung di kawasan hutan berhampiran tapak pembinaan pada waktu siang sebelum menyelinap masuk ke tapak pembinaan pada waktu malam untuk bermalam.
Difahamkan, tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa selain mengurangkan risiko ancaman keselamatan termasuk serangan binatang buas. Suspek juga mengaku memakai pakaian yang dicuri dari kawasan pembinaan untuk menyamar dan mengelakkan pengecaman.
Semakan sistem JIM mendapati lelaki tersebut memasuki Malaysia pada 11 Januari 2025 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.
Proses temu bual serta pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan turut mengesahkan bahawa suspek merupakan individu yang melarikan diri daripada tahanan polis sebelum ini.
Kini, suspek ditahan di Depot Imigresen dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 bagi tindakan lanjut.
JIM menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi atau menggaji Pendatang Tanpa Izin (PATI) kerana tindakan tegas boleh diambil mengikut undang-undang sedia ada.
Masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan PATI atau sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
