Selepas 4 Dekad, Dato’ Aishah Bakal Gegar Megastar Arena Menerusi Konsert Mega Pertama Julai Ini!
- oleh Editor MYBUZZ
- 19 Apr 2026 3:12 pm
KUALA LUMPUR – Berita baik buat seluruh peminat tegar legenda seni suara tanah air, Dato’ Aishah, apabila beliau bakal mencipta satu lagi sejarah manis dalam lipatan kariernya menerusi penganjuran konsert solo berskala besar yang pertama. Konsert eksklusif yang diberi nama “Aishah 40 Chapters of Love” ini dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2026, tepat jam 8.00 malam bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Vox Nation Live , acara gah ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya ia merupakan sebuah perayaan penuh emosi bagi meraikan perjalanan seni beliau selama 40 tahun di dalam industri muzik tempatan.

Menjelang konsert yang penuh bermakna ini, Dato’ Aishah dilaporkan sedang giat melakukan persiapan yang rapi dari sudut mental dan fizikal demi memastikan setiap detik persembahannya di atas pentas nanti adalah sempurna.
“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat setia yang telah bersama saya selama ini,” ujar Dato’ Aishah penuh teruja.
Beliau turut meluahkan rasa tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas dan berkongsi momen istimewa, selain berharap setiap lagu yang dipersembahkan bakal menyentuh hati serta mengimbau kenangan manis para peminatnya.
Bakal mengangkat tema perjalanan hidup dan cinta menerusi alunan muzik, konsert ini akan membawa penonton menyelusuri setiap “bab” dalam karier gemilang penyanyi bersuara emas itu. Peminat pastinya sudah tidak sabar untuk mendendangkan lagu-lagu malar segar dan ikonik yang akan dipersembahkan kelak, antaranya termasuklah “Janji Manismu”, “Camar Yang Pulang”, serta “Kemaafan Dendam Yang Terindah”.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, En. Shawn Chang, menyifatkan penganjuran konsert ini sebagai satu penghormatan kepada legasi seni seorang ikon negara.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, jualan tiket konsert “Aishah 40 Chapters of Love” kini telah mula dibuka sejak 17 April 2026. Tiket boleh didapatkan secara dalam talian menerusi laman web rasmi di www.ticket2u.com.my/Aishah40.
Konsert istimewa ini menawarkan pelbagai kategori tiket bagi memenuhi pilihan dan keselesaan penonton. Kategori VVIP ditawarkan pada harga RM788, manakala VIP dan Janji Manismu masing-masing berharga RM488.Bagi penonton yang inginkan pengalaman premium pada harga sederhana, tiket Sensation dijual pada RM388, manakala Paradise pula pada harga RM288.Turut ditawarkan ialah kategori Kasih Kita pada RM238, Pulanglah pada RM198, serta Taman Keabadian sebagai kategori paling mampu milik dengan harga RM168.
Dengan pilihan harga yang pelbagai, peminat disarankan mendapatkan tiket lebih awal bagi memastikan tempat di malam penuh nostalgia bersama legenda seni suara negara ini. Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah 40 tahun perjalanan seni Dato’ Aishah!
